Saya tolak negara Islam PAS
Saya merujuk kepada kenyataan Presiden Parti Rakyat Syed Husin Ali dan juga surat pembaca dari Hashim Poirot, yang tersiar di laman web malaysiakini.
Saya berpandangan sudah sampai masanya masyarakat Malaysia, terutama dari keturunan Melayu (yang secara perlembagaannya didefinisikan sebagai Islam) untuk menyuarakan dengan tegas penentangan kita terhadap konsep Negara Islam yang berteraskan hukum Hudud mengikut takrifan PAS.
Negara Islam mengikut takrifan PAS adalah sebuah negara Islam yang anti-demokratik dan menafikan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia. Sebagai contohnya, semua orang Melayu (tentunya beragama Islam) wajib tunduk kepada Hukum Hudud versi PAS.
Manakala yang bukan Islam pula diberi pilihan sama ada mahu mengikut Undang-undang Hudud atau pun undang-undang yang sedia ada. Perkara ini secara jelasnya adalah sesuatu yang berlawanan dengan konsep keadilan di dalam Islam itu sendiri.
Adilkah seseorang yang punya kerakyatan yang sama, akan tetapi terpaksa dirujukkan kepada dua undang-undang yang berbeza? Si Ahmad dipotong tangannya kerana kesalahan mencuri, manakala si Ramasamy dipenjarakan dua tahun bagi kesalahan yang sama.
Si Aminah direjam sehingga mati kerana kesalahan 'berzina' (walaupun secara persetujuan dan kerelaan bersama) manakala pasangannya si Ah Meng pula bebas kerana dia tidak tertakluk di bawah Undang-undang Hudud.
Ini hanya merupakan satu contoh sahaja dari banyak contoh-contoh lain bagaimana sistem pemerintahan Islam yang berteraskan undang-undang Hudud ala PAS ini berlawanan dengan konsep keadilan.
Adilkah suatu sistem pemerintahan (baca: sistem pemerintahan Islam ala PAS) yang membeza-bezakan antara warganegara yang punya taraf kerakyatan yang sama?
Bukan setakat itu sahaja, bagaimana pula dengan seorang Melayu yang beragama Islam seperti saya ini yang menolak Negara Islam mengikut tafsiran PAS ini? Bagaimana pula dengan orang Melayu lain yang turut menolak perlaksanaan negara Islam yang berteraskan undang-undang hudud ala PAS ini? Adakah kami semua ini akan dijatuhkan hukuman murtad dan layak dihukum bunuh?
Tindakkan PAS yang tetap berdegil dengan cita-cita negara Islamnya dan undang-undang hududnya itu adalah suatu langkah berbalik ke belakang. Ianya suatu tindakkan kembali ke zaman medieval (zaman kuno dan lama), sepertimana yang berlaku di Eropah pada zaman gelap mereka.
Tindakkan PAS sekarang ini saling tak tumpah seperti tindakkan Gereja di zaman gelap Eropah, di mana mereka menganggap diri mereka sebagai institusi suci yang tidak boleh dinafikan kebenaran tafsiran mereka. Dan siapa yang tidak mengikut jalur fikiran seperti mereka, dijatuhkan hukuman murtad dan halal darah mereka.
Inilah yang sedang terjadi di dalam negara kita ini dan PAS adalah salah satu dari institusi yang bertanggungjawab (selain dari Umno) yang menyuburkan fahaman anti-demokratik dan anti-berbeza pandangan ini.
Dalam perkara ini, PAS sebenarnya tidak jauh bezanya daripada Umno - kedua-duanya anti-berbeza pandangan. Kedua-duanya (PAS dan Umno) menggunakan kekuasaan majoriti untuk melakukan pemaksaan ke atas minoriti.
Kalau Umno berpaksikan fahaman fasis dengan mengangkat ketuanan Melayu sebagai dasar pemerintahannya, konsep Negara Islam yang berteraskan undang-undang hudud ala PAS ini pula jelas tidak kurang fasisnya daripada Umno apabila PAS mengangkat ketuanan Agama sebagai paksi kepada pemerintahannya.
Kedua-dua fahaman fasis ini, sama ada ketuanan Melayu atau ketuanan Agama, adalah suatu ketidakadilan yang berlawanan dengan konsep dan falsafah keadilan yang ada pada mana-mana agama di dunia ini.
Dan pada waktu dan detik ini, kita tidak dapat lari daripada berhadapan dengan persoalan-persoalan tentang demokrasi dan hak asasi manusia kerana asas kepada keadilan ialah ianya harus mengikut prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi manusia sejagat.
Justeru itu, saya menyeru terutamanya kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam supaya buangkan perasaan takut yang ada di dalam diri kita. Marilah kita sama-sama menyuarakan pandangan kita, baik melalui tulisan ataupun percakapan, demi masa depan Malaysia yang lebih adil dan demokratik, bukannya teokratik.
Sama ada Nik Aziz Nik Mat atau pun Haji Abdul Hadi Awang, Dr Mahathir Mohamad ataupun Abdullah Ahmad Badawi, mereka ini hanyalah manusia dan sebagai manusia mereka tentulah tidak maksum dan tidak lari daripada membuat kesalahan dan kesilapan.
Marilah kita sama-sama merayakan perbezaan pandangan! Semoga keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia tumbuh subur di negara kita ini.

