Selepas mendengar hujah-hujah daripada Presiden PRM, Syed Husin Ali, nampaknya PAS tidak faham-faham juga mengapa terdapat tentangan terhadap impian negara Islamnya. Untuk mempertahankan prinsip-prinsip PAS, pemangku Presidennya Abdul Hadi Awang telah menekankan bahawa hukum hudud yang dijunjung oleh PAS itu hanya akan melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam tidak akan terlibat sama sekali, maka mereka tidak perlu risau.

Bagi saya, jawapan ini memang tidak masuk akal langsung. Malah, ia mencerminkan sikap dan falsafah PAS yang memang cetek dan tidak mengerti akan prinsip-prinsip demokrasi yang sebenarnya. PAS ini nampaknya hanya tergedik-gedik mahu menumbangkan kerajaan BN, tetapi mahu mengekalkan, malah menguatkan polisi-polisi BN yang autokratik dan memecah-belahkan rakyat.

Sebagai orang Islam, saya amat jijik dengan pandangan PAS ini. Melalui kata-kata pemangku presidennya, PAS seolah-olah mahu menyuap madu ke mulut rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam supaya menyokongnya. Macam mana pula dengan rakyat Malaysia yang beragama Islam?

Tahukah PAS, bukan semua orang Islam di Malaysia setuju dengan konsep hudud yang diterajui oleh PAS? Atau mungkinkah PAS menganggap mereka ini sebagai orang yang murtad, yang pendapatnya tidak layak diterima malah perlu dihapuskan? Atau mungkin PAS mempunyai rancangan yang tertentu dalam formula hududnya yang akan dipergunakan ke atas pihak yang berpendapat sebegini?

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya mahukan sebuah kerajaan yang menjamin hak-hak sejagat kesemua rakyat Malaysia, tidak kiralah yang Islam atau yang bukan Islam, yang Melayu atau yang India atau yang Kadazan atau sebagainya. Saya tidak suka kerajaan yang memperjuangkan ketuanan mana-mana puak, sama ada berlandaskan kaum atau agama. Cauvinisme itu sememangnya menjijikkan.

Maka, terus-teranglah saya umumkan di sini bahawa saya memang tidak mahu terus hidup di bawah naungan kerajaan BN yang amat cauvinis.

Tetapi, wahai rakyat Malaysia dan wahai PAS, demi menyelamatkan diri daripada diserang oleh sang harimau, saya tidak pula mahu dibaham oleh sang buaya.

Syabas kepada PRM kerana sanggup mempunyai pendirian yang berprinsip dan konsisten. Semoga pejuang-pejuang demokrasi dan hak manusia yang lain juga turut serta dalam menegakkan prinsip-prinsip sejagat yang sejati. Alternatif kepada BN bukannya PAS. Alternatif kepada BN adalah demokrasi.