Sekumpulan petugas dan aktivis media hari ini berkumpul bersama kakitangan Al Jazeera Malaysia bagi menunjukkan solidariti terhadap wartawan-wartawan agensi berita antarabangsa itu yang kini ditahan pihak berkuasa Mesir.

Kira-kira 30 orang berkumpul berdekatan persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak bagi mendesak pihak berkuasa Mesir membebas wartawan itu daripada tuduhan "teroris dan melaporkan berita palsu".

Turut serta Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, aktivis Masjaliza Hamzah dan wakil kumpulan wartawan pro-kebebasan media Gerakan Media Marah (GERAMM) Radzi Razak.

Mereka memakai baju biru bertulis "Jounalisme is not a crime, #FreeAJStaff", menutup mulut dengan pita dan memegang poster menuntut pembebasan wartawan terlibat.

Kenderaan yang lalu lalang turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan tersebut.

Perhimpunan dalam panas terik matahari itu berlangsung selama 40 minit.

Yang lebih menarik, jurukamera agensi berita itu memberanikan diri tidur di atas kaki lima yang panas semata-mata menyatakan sokongan terhadap empat rakan seperjuangannya – Mohamed Fahmy, Baher Mohamad, Peter Greste dan Abdullah Elshamy.

Jurucakap AlJazeera Malaysia K Parkaran berkata, himpunan aman hari ini sebahagian daripada usaha untuk menekan kerajaan Mesir membebaskan wartawan mereka.

"Kami memutuskan untuk mengadakan bantahan ini juga untuk mendesak pihak berkuasa Mesir melepaskan mereka.

"Kami juga mahu membangkitkan kesedaran rakyat berhubung perkara ini," katanya kepada media selepas perhimpunan itu.

Beliau juga berkata ibu pejabatnya di Doha, Qatar juga memberi bantuan dan sokongan terhadap kakitangan mereka termasuk perlindungan dan nasihat terhadap keluarga mangsa.

M'kini: Bebaskan segera wartawan

Menyokong kenyataan Parkaran, Steven ( kanan ) mengecam pihak berkuasa Mesir yang mencabuli hak wartawan agensi berita antarabangsa itu yang menjalankan tugas dan bukannya melakukan jenayah.

"Sebab itu kita datang menyertai bantahan ini. Mesir perlu membebaskan segera wartawan (agensi berita) itu," katanya kepada Malaysiakini .

Masjaliza yang juga bekas pengarah Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) memuji dan menyokong tindakan Al Jazeera dan petugas media Malaysia yang berani menyatakan bantahan terhadap penahanan itu.

"Saya rasa bantahan ini perlu dipuji. Wartawan tempatan datang menyatakan sokongan membantah penahanan wartawan Al Jazeera di Mesir.

"Kewartawanan bukan satu jenayah," katanya.