Beberapa pemimpin PKR dan DAP terkejut dan kecewa dengan situasi politik negara ekoran insiden lemparan cat merah dan seekor itik yang diikat kakinya diletakkan di pejabat portal berita bebas Malaysiakini pagi ini.

Empat ahli parlimen PKR dan DAP iaitu Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), N Surendran (Padang Serai) Tony Pua (Petaling Jaya Utara), Lim Lip Eng (segambut) serta ADUN Kinrara, Ng Sze Han hadir ke pajabat portal itu sebagai tanda sokongan.

Mereka turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menangani insiden yang dikaitkan isu video Teresa Kok, supaya tidak berlarutan dan merebak ke tempat lain.

"Ia mengejutkan, apabila perkara ini berlaku kepada Malaysiakini, amat menyedihkan sekali.

"Bila Tony (Pua) beritahu saya pasal serangan itu atas isu Teresa Kok tanpa campurtangan PM dan kerajaan ini, saya rasa ini amat merisaukan.

"Saya tahu polis datang, polis siasat di Malaysiakini, apa yang kita mahu sekarang perdana menteri ambil tindakan serius akan serangan sebegini.

"Kita sokong dan pertahankan media daripada serangan sebegitu," katanya yang juga naib presiden PKR.

Berkongsi pendirian yang sama dengan Nurul Izzah, Tony kecewa dengan penggunaan haiwan bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan tindakan itu menimbulkan ketakutan sesiapa sahaja termasuk pengamal media dan ahli politik.

Pengerusi DAP Selangor itu menegaskan tindakan tersebut bukan satu cara berpolitik yang perlu diamalkan di negara ini sekaligus mahu pihak berkuasa bertindak supaya ia tidak berulang.

Ayam, itik jadi mangsa

"Kita kecewa dengan politik di Malaysia. Sekarang dah jadi norma menyuarakan ketidakpuasan hati melalui ayam dan itik.

"Tiada sesiapa termasuklah media, ahli politik, orang biasa yang mahu hidup dalam ketakutan, tiada siapa.

"Kita harap pihak berkuasa ambil tindakan terhadap serangan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi lebih teruk lagi," katanya.

Manakala ADUN Kinrara Ng Sze Han pula merasakan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dan merasakan pihak yang terbabit cuba mengubah sasaran mereka dengan menyerang media.

"(Jadi) polis kena serius siasat perkara ini, supaya perkara ini tidak berulang di pejabat media lain.

"Kita juga berharap perdana menteri kita yang paling senyap, Datuk Seri Najib Tun Razak kena kata sesuatu dan tangani masalah ini," katanya.

Sementara itu, Lim Lip Eng pula berkata merujuk dengan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengetahui pihak yang bertanggungjawab ke atas kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di luar pejabat Malaysiakini.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan bukti individu yang bertindak menyerang pejabat portal berita yang terkenal itu.