Sumbangan PPIM tiada tolak banding
Sebagai seorang peserta IMLC II ( International Muslim Leaders's Consultation on HIV/Aids II) di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya merasa bertanggungjawab untuk menerangkan secara objektif tentang beberapa ulasan dan tanggapan oleh Encik Hashim Poirot.
Selaku pakar perunding perubatan, saya sendiri terlibat merawat mangsa HIV/Aids. Bukan saja itu, saya juga terlibat secara langsung dalam arena HIV/Aids dan merupakan seorang daripada ahli Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) yang antaranya mengasaskan 'Rumah Solehah', satu-satunya rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak mangsa HIV/Aids dan presidennya adalah Dr Musa Nordin. Saya bertindak sebagai pengarah projek ulung ini di Malaysia.
Saya juga merupakan salah seorang dari mereka yang terdiri dari kadhi, imam, pakar pakar perunding perubatan, dan peserta lain yang bertindak meninggalkan majlis selepas pembentangan oleh Amina Wadud yang telah diberikan penghormatan selaku penceramah jemputan di IMLC.
Saya terasa amat tersinggung akan kritikan Amina terhadap agama Islam yang pada hemat saya jelas merupakan satu penghinaan terhadap agama samada disengajakan atau tidak.
Tindakan meninggalkan majlis diambil hanya dengan satu sebab iaitu kami tidak dibenarkan langsung untuk mengemukakan hujah semula pada masa itu oleh pihak penganjur dimajlis tersebut. Bagaimanapun, jelas kebenaran tindakan kami berikutan Amina menarik balik kertas kerjanya.
Saya sempat berjumpa dan berbincang dengan Amina tentang kertas kerjanya. Beliau mempunyai beberapa pendapat yang sukar saya terima, tetapi itu adalah hak beliau. Kami sempat bermaafan diakhir persidangan.
Malah saya sendiri sempat bermesra dengan Rifat Hassan yang merupakan tok guru kepada Amina.
Adakah ini yang dimaksudkan oleh Hashim sebagai 'hanya berminat untuk mengeluarkan pekeliling-pekeliling yang membuat perbagai tuduhan dan ugutan terhadapnya?'.
Tahniah kepada pihak penganjur kerana telah menjayakan IMLC, sememangnya dalam keadaan yang begini amat sukar untuk memuaskan semua pihak.
Bagaimanapun, cara IMLC di jalankan tidak memberi cukup ruang untuk peserta mengemukakan pendapatnya selepas pembentangan kertas kerja secara lisan. Bengkel-bengkel diadakan untuk tujuan ini akan tetapi, tajuk dan peserta-peserta bengkel sudah ditentukan penganjur sebelumnya.
Sudah menjadi lumrah manusia zaman ini, tidak lari dari membuat berbagai-bagai andaian, tohmahan, mencari kesilapan dan menjadi batuapi sehingga menjatuhkan maruah seseorang dan sesuatu organisasi.
Apabila seseorang menyuarakan pendapatnya untuk mempertahankan kesucian agama, ia di dakwa "melemparkan ugutan-ugutan ganas". Apabila kita menggadai nyawa untuk memberi bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada mangsa-mangsa perang, kita dituduh terlibat dalam "menganjurkan perjuangan ganas atas nama jihad".
Saya berpendapat sumbangan PPIM dan ahli-ahlinya terhadap masyarakat dan kemajuan perubatan dari aspek Islam tidak ada tolak bandingnya kepada negara dan masyarakat akan tetapi ada juga mereka yang tidak senang hati dan mengambil kesempatan dan tanpa segan silu menggunakan media massa membangkitkan isu-isu perkauman dan agama untuk mengapi-apikan keadaan.
Tanpa bukti yang nyata dan jelas, semua tuduhan ini sepatutnya ditarik balik dengan segera dan permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terbabit.
Dr Saadiah Sulaiman
Peserta IMLC II
Pengarah Projek Rumah Solehah PPIM

