Tulisan Dr Mazeni Alwi dipertikai
Saya telah membaca tulisan Dr Mazeni Alwi bertajuk "The other face of zealotry", dengan penuh minat. Bagaimanapun, saya rasa pandangan Dr Mazeni sendiri sudah mencerminkan objek kritikannya.
Saya juga telah mengikuti perkembangan IMLC II (International Muslim Leaders' Consultation on HIV/Aids) ini. Malah, saya telah menghadiri beberapa sesi persidangan tersebut. Biarlah saya mengutarakan beberapa pandangan dan pemerhatian.
Mula-mula sekali, saya amat bersetuju dengan Dr Mazeni bahawa media arus perdana bahasa Inggeris telah berlaku tidak adil dalam mengkritik segolongan peserta di persidangan tersebut.
Mereka ini terlalu pantas dilabelkan sebagai "obscurantist" dan "retrogressive", tanpa hujah-hujah mereka dibincangkan secara serius. Memang, golongan yang mengaku diri mereka "progresif", kadang-kadang juga tidak jauh berbeza perangainya daripada golongan sasaran kritikan mereka.
Akan tetapi, individu-individu yang dipertahankan oleh Dr Mazeni terutamanya Dr Musa Mohd Nordin dari Malaysia dan Nazlin Omar dari Kenya memang telah melemparkan ugutan-ugutan ganas terhadap beberapa pembentang tertentu, terutama Dr Amina Wadud.
Mereka nampaknya tidak berminat langsung untuk berdialog dengan Dr Amina, malah hanya berminat untuk mengeluarkan pekeliling-pekeliling yang membuat pelbagai tuduhan dan ugutan terhadap beliau. Maka tidak hairanlah jika segelintir pihak media tidak sedar bahawa mereka ini sebenarnya merupakan golongan "profesional" yang fasih membincangkan topik semasa secara matang.
Dr Mazeni juga telah mempertahankan kelayakan mereka ini, terutama Dr Musa, dengan penuh teliti. Menurutnya, Dr Musa merupakan seorang pakar perubatan yang amat dihormati di dalam bidangnya dan juga mempunyai "pemahaman yang mendalam" tentang agama Islam.
Pada masa yang sama, Dr Mazeni juga telah berusaha untuk menyerang karya-karya pemikir-pemikir Islam "progresif" seperti Dr Farid Esack dari Afrika Selatan, dan meyangkalnya sebagai "teologi pembebasan" yang tidak mendapat sambutan meluas.
Saya tidak menafikan bahawa Dr Musa memang boleh dikaitkan dengan sebuah projek sosial yang amat sihat dan positif, iaitu Rumah Solehah. Tetapi beliau juga memakai topi Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).
Tahukah Dr Mazeni bahawa terdapat pelbagai dokumen yang disebarkan di internet di bawah nama PPIM, yang menganjurkan perjuangan ganas atas nama "jihad"? Contohnya menjemput para Muslimin supaya menyertai perjuangan bersenjata di Maluku untuk menundukkan kaum Kristian di situ beberapa tahun yang lalu?
Dan e-mel terbaru yang disebarkan di bawah nama PPIM yang menyalah-ungkap kata-kata beberapa peserta IMLC ini? Betul, personaliti-personaliti PPIM yang terlibat telah menafikan kesemuanya, tetapi persoalannya kekal di sini. Mengapakah dokumen-dokumen ini disebarkan di bawah nama PPIM? Di dalam Bahasa Malaysia? Saya tidak percaya bahawa terdapat konspirasi untuk memburuk-burukkan PPIM.
Keduanya, Dr Mazeni perlulah faham bahawa Dr Farid Esack bukannya seorang pemantau teh tarik. Dr Esack merupakan seorang tokoh Islam yang telah berjuang menentang Apartheid di Afrika Selatan, dan telah mendalami ilmu tafsir Al-Quran di Pakistan selama hampir sepuluh tahun sebelum mengeluarkan bukunya.
Maka, pengalaman Dr Esack adalah amat berharga untuk diteladani umat Islam di serata dunia dalam mengatur strategi untuk menentang pelbagai bentuk penindasan. Saya rasa adalah tidak wajar jika karya Dr Esack diperkecilkan begitu sahaja.
Dr Esack juga merupakan salah seorang daripada pekerja sosial yang menerajui projek "Positive Muslims" di Afrika Selatan, yang menjalankan pelbagai projek akar-umbi untuk menangani epidemik HIV/Aids di kalangan umat Islam di Afrika Selatan.
Kalau Dr. Mazeni ingin mempertahankan kelayakan Dr Musa untuk menyuarakan pendapat tentang hal-ehwal keagamaan dan sosial, maka Dr Mazeni perlu juga memberi penghormatan yang sama kepada Dr Farid Esack.
Saya tidak nampak mengapa pentafsiran kitab suci Islam dan sumber-sumber suci perlu dibolot oleh sesetengah puak yang dilihat sebagai lebih "berilmu", manakalah penyertaan puak lain yang juga berilmu disekat semata-mata kerana mereka memandang perkara yang sama dengan kaca mata yang lain.
Jika Dr Mazeni kekal mahu mempertahankan orang seperti Dr Musa tetapi menyisihkan orang seperti Dr Farid Esack, beliau sebenarnya berperangai sama sahaja seperti pihak yang dikritiknya

