Perhimpunan 'sembelih ayam' dan ganjaran wang untuk menampar MP Seputeh disifatkan 'brek' kepada provokasi terhadap orang Melayu.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan ( kanan ) berkata, ia tidak akan berlaku jika rakyat Malaysia daripada dulu semeja membincangkan penyelesaian terbaik.

"Memang itu (perbincangan) patut dilakukan daripada dulu, malangnya tidak ada usaha yang begitu.

"Yang ada adalah kutukan. Jadi kita kena brek (provokasi pada Melayu), brek ini kena ada cara.

"Kalau kerajaan tak brek, kita kena tolong brek, letak kaki kita brek. Ini kita breklah ini," kata Nadzim dalam satu wawancara bersama Malaysiakini dan KiniTV.

MKMM: K'jaan takut bertindak

Pengerusi Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah ( bawah ) yang turut serta dalam wawancara itu juga senada dengan Nadzim.

Dakwanya, polis mengambil masa yang agak lama untuk bertindak terhadap Teresa berbanding individu yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka'.

Menurutnya, 'Sultan Melaka' ditangkap untuk disoal siasat hanya selepas tiga atau empat laporan polis dibuat terhadapnya.

"Jadi saya lihat benda ini, kenapa kerajaan terlalu lemah terlalu takut sangat nak ambil tindakan kepada orang yang menghina.

"Menghina ini maknanya fitnah, fitnah ini lebih buruk daripada bunuh," katanya.

Beliau menuntut kerajaan BN bertindak lebih tegas terhadap kejadian-kejadian demikian.

"Kalau dia (BN) tunggu, tunggu, tunggu, negara akan jadi hancur rakyat akan jadi porak peranda," katanya.

Katanya lagi, keadaan ini berbeza sewaktu negara diperintah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwanya, pada zaman itu orang Cina takut kepada orang Melayu.

"Lepas Mahathir, (sewaktu pemerintahan) Pak Lah (semua) hancur," katanya.