Kira-kira 500 penduduk di sebuah kawasan perumahan di Bandar Baru Bangi, dekat Putrajaya berada dalam kebimbangan apabila dinding dan siling rumah teres dua tingkat yang mereka duduki retak selain berlaku tanah mendap.
    
Pengerusi Persatuan Penduduk Kejiranan Kenanga, Seksyen 4, Adi Hafiz Al'Azmy berkata masalah itu dialami oleh 110 keluarga sejak mereka menduduki rumah berkenaan Jun 2012.
    
"Pada tahun lepas, siling bilik air sebuah rumah runtuh, kedudukan pintu juga berubah iaitu disebabkan tanah mendap dan kami juga percaya ada pengaliran air di bawah rumah sebab saya pernah dengar bunyi air mengalir selepas hujan.
    
"Sehingga kini 71 aduan telah kami terima daripada penduduk," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya semalam.
    
Beliau berkata pada November tahun lepas mereka menghantar surat kepada pihak pemaju yang beribu pejabat di Bandar Mahkota Cheras untuk memaklumkan perkara itu namun kecewa kerana tiada maklum balas dan pada sesi dialog Januari lepas  pihak pemaju berjanji untuk membaikinya namun sehingga sekarang tidak dibaiki.
    
Adi Hafiz berkata pihaknya membuat aduan di SPRM kerana ingin meminta badan itu membuat siasatan kerana dicurigai mungkin terdapat penyelewengan oleh pegawai yang meluluskan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) terhadap projek perumahan berkenaan.
    
"Apa yang lebih menghairankan selepas menduduki rumah berkenaan pada 2012 saya pernah pergi ke Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, tetapi tengok peta mereka kata tanah kawasan rumah kami masih kosong," katanya.
    
- Bernama