Debat berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam antara dua pemimpin penting Umno dan PAS Selangor yang tidak menjadi kenyataan sebelum ini akhirnya berlangsung tanpa penonton di studio sebuah saluran video atas talian.

Dalam acara kelolaan MobTV itu, kedua-dua anggota Parlimen itu – Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang) dan Khalid Samad (Shah Alam) – bersetuju menolak kalimah Allah digunakan oleh agama lain untuk penyebaran ke atas umat Islam.

Bagaimanapun, masing-masing mempunyai tafsiran berbeza terhadap undang-undang sedia ada, terutamanya  Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Noh dalam debat kelmarin menggesa rakyat Malaysia mematuhi undang-undang dalam enakmen itu tanpa mempersoalkannya kerana ia selari dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Apa yang saya nak semua orang kena hormati undang-undang," katanya.

Khalid bagaimanapun menolak pendekatan yang didakwanya rigid dan tidak mahu membincangkannya secara terbuka.

Bagi Khalid, Seksyen 9(1) berkaitan perkara itu sebenarnya tiada kaitan dengan usaha penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam.

"Seksyen 9 dengan tiba-tiba merujuk kalimah Allah tidak boleh diguna pakai, Bukan sahaja buku, bahkan dalam ucapan walaupun ia tidak ada kena mengena dengan usaha penyebaran agama orang bukan Islam kepada orang Islam," katanya.