Elitisme gerakan reformasi
Merujuk kepada tulisan Suresh Gnasegarah, MSY dan Aman Rais dalam laman Malaysiakini, saya tertarik untuk memberikan sedikit pandangan kepada keseluruhan gerakan reformasi di Malaysia.
Pertama, reformasi telah dipolitikkan. Parti Keadilan telah menjadikan reformasi sebagai 'political mileage' dan pada masa yang sama menjadikan Anwar Ibrahim sebagai ikon sehingga mewujudkan budaya 'cult'. Ini jelas terbukti apabila Deklarasi Permatang Pauh hanya tinggal deklarasi semata-mata.
Walhal wujud sejumlah isu dalam arena sahsiah, ekonomi dan sosial yang seharusnya diperjuangkan oleh Keadilan, dan bukan hanya semata-mata isu Anwar Ibrahim. Persoalannya kini boleh saya rumuskan bahawa jika reformasi tidak dipolitikkan gerakan reformasi akan lebih berjaya. Seperti pendapat Marx, apabila sesuatu ideologi dipolitikkan secara tidak langsung akan wujudnya perbezaan kelas dalam masyarakat.
Kedua, saya tidak sama sekali bersetuju apabila Aman Rais dalam tulisannya menggelarkan Nurul Izzah sebagai Puteri Reformasi. Jika gelaran ini bertepatan, maka Anwar Ibrahim dan Wan Azizah akan bergelar Raja/Sultan dan Permaisuri Reformasi. Walaupun isu ini agar remeh tetapi implikasinya begitu besar. Aman Rais cenderung memupuk pemikiran elitisme dalam gerakan reformasi. Persoalan kini boleh saya andaikan bahawa budaya elitisme masih berakar umbi dalam masyarakat Melayu.
Apakah yang dimaksudkan oleh Aman Rais sebagai "api reformasi"? Perkataan 'api' itu seolah-olah mengesahkan pandangan akhbar pro kerajaan bahawa reformasi itu adalah suatu luahan berbentuk emosi dan akan berakhir dengan "keganasan".
Saya sependapat dengan pandangan Saudara Farish dalam bukunya 'The Other Malaysia' untuk para pendukung reformasi kembali kepada Deklarasi Permatang Pauh.

