Izinkan saya memperkenalkan diri saya. Saya adalah editor kepada laman web umno-reform.com dan telah menjadi ahli Umno semenjak tahun 1994. Surat terbuka ini dibuat memandangkan ruangan penyelesaian secara dalaman yang senantiasa diutamakan oleh kepimpinan parti nampak seperti terbuka, tetapi hakikatnya senantiasa tertutup.

Sebenarnya terdapat beberapa isu semasa yang ingin dimaklumkan tetapi buat pembuka tirai 'surat terbuka' kepada kepimpinan negara ini, saya dahulukan dengan isu penahanan ISA dan implikasinya kepada Umno.

Insya-Allah saya akan teruskan penulisan 'surat terbuka' bagi memaklumkan pelbagai isu yang saya percaya ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi mahu mengetahuinya. Saya percaya ahli-ahli Umno, khususnya di peringkat akar umbi, mahukan Umno berdiri dengan gagah dalam melaksanakan aspirasi rakyat.

Saya juga percaya ahli-ahli mahu terus berada dalam Umno dengan kesepakatan jitu orang

Melayu bagi menrealisasikan harapan Malaysia untuk terus maju dan makmur.

Saya percaya, Dato Seri sedia maklum mengenai kes penahanan aktivis reformasi di bawah Seksyen 73, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, namun saya turunkan di sini agar semua pembaca turut sedar bahawa ahli-ahli Umno juga mahukan keadilan serta mahukan undang-undang bukan sahaja di laksanakan tetapi nampak di laksanakan dengan adil dan saksama.

Kes ini menarik perhatian saya berserta dengan beberapa kes lain kerana ianya seolah-olah gagal dijawab dengan sempurna oleh kepimpinan negara, khususnya Kementerian Dalam Negeri, sebagai penguasa yang menahan mereka sekarang ini.

Saya ajukan surat ini bagi memohon penerangan dari Dato Seri selaku penguasa yang menahan mereka ini, merujuk kepada Seksyen 8 Akta ISA 1960. Berikut adalah keputusan kes perbicaraan yang bagi tahanan aktivis reformasi dalam kes:

Dalam Mahkamah Persekutuan (Bidang Kuasa Jenayah) Bil 05-8-2001(W)
Wilayah Persekutuan Permohonan Jenayah bil 44-15-2001

Keputusan kes tersebut adalah:

"Untuk semua alasan yang ditetapkan, saya dapati ianya konsisten dengan sidang hakim yang lain dan memutuskan bahawa penahanan ke atas perayu-perayu oleh pihak polis di bawah Seksyen S73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 diterima dan perayu dibebaskan" - Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Sep 6, 2002.

Keputusan itu, antara lain, mendapati bahawa Ketua Polis Negara (responden) berniat jahat dalam penahanan aktivis reformasi tersebut. Polis dalam menahan mereka, mengatakan perkara-perkara berikut sebagai asas penahanan mereka:

Kenyataan Akhbar Ketua Polis Negara (dibentangkan dalam mahkamah)

Mengatakan bahawa alasan penahanan adalah kerana:

1) Telah melaksanakan langkah-langkah untuk mendapatkan bahan letupan termasuk bom dan grenade launcher (pelancar bom)

2) Menggunakan 'molotov cocktail', 'ball bearing' serta berbagai-bagai senjata berbahaya untuk menyerang pihak keselamatan bagi menimbulkan keadaan huru-hara semasa demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur pada Oktober 1998; dan

3) Mendapatkan bantuan dan sokongan guru-guru silat serta mempengaruhi sebilangan bekas pegawai dan anggota keselamatan untuk menyertai gerakan mereka.

Mahkamah mendapati bahawa tuduhan di atas tidak berasas dan rekod polis menunjukkan penahanan mereka (dari soal siasatan polis) hanya untuk tujuan politik bagi mengetahui pegangan dan peranan politik mereka.

Muka 8 Keputusan Perbicaraan:

Dalam Mahkamah Persekutuan (Bidang Kuasa Jenayah) Bil 05-8-2001(W)
Wilayah Persekutuan Permohonan Jenayah bil 44-15-2001 (Exhibit Mahkamah)

Penahanan Polis berdasarkan rekod dan soalan-soalan mereka terhadap yang ditahan adalah:

1) Mengenai pendapat mereka terhadap politik negara.

2) Penglibatan mereka terhadap demonstrasi dan gangguan sewaktu perhimpunan.

3) Dato' Seri Anwar Ibrahim dan persoalan seks beliau.

4) Mengenai pembangkang dan ketua-ketua pembangkang.

5) Tuduhan seks.

6) Demonstrasi Jalanan.

7) Pilihan Raya Lunas.

8) Sumber pendapat Parti Keadilan Nasional.

Ini menggambarkan kebenaran keputusan mahkamah bahawa penahanan mereka adalah satu usaha bermotifkan politik dan soalan-soalan terhadap mereka berbeza dengan tuduhan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara yang telah tersebar luas melalui media-media tempatan.

Selaku rakyat Malaysia dan juga selaku ahli Umno yang prihatin, saya telah melakukan beberapa pembacaan bagi mengetahui kedudukan yang sebenar sungguhpun input amat terbatas.

Tafsiran yang saya beroleh adalah:

Merujuk kepada keputusan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, penahanan mereka kini sudah jatuh di bawah Seksyen 8, yakni melibatkan Menteri Dalam Negeri.

Menurut Polis, mereka akur dengan keputusan mahkamah tetapi penahanan sekarang atas kehendak Menteri Dalam Negeri iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri dan bukan di bawah bidang kuasa polis lagi.

Malangnya penahanan yang dibuat atas arahan Menteri itu adalah juga atas nasihat Ketua Polis Negara dan ini sudah menunjukkan kontradiksi dalam penahanan tersebut.

Sehingga hari ini, setelah keputusan mahkamah dibuat pada Sep 6, 2002 dan penahanan mereka sudah hampir dua tahun, tidak ada justifikasi yang dapat meyakinkan kita terhadap isu penahanan mereka.

Selaku ahli Umno keadaan ini jelas menunjukkan beberapa perkembangan yang tidak sihat. Kalau penahanan mereka atas dasar politik maka pembebasan mereka perlu disegerakan. Kita ahli Umno sepatutnya berani bertempur dalam medan politik tanpa menyorok ketakutan di sebalik tabir undang-undang polis.

Selaku ahli Umno, saya mahu ahli-ahli kita bertindak atas kepentingan rakyat dan tidak hanya menuruti tanpa usul periksa. Kebenaran harus ditegakkan dan saya percaya ahli-ahli Umno yang lain bersetuju dengan apa yang telah saya katakan.

Saya percaya Umno mampu bertahan sekiranya penerapan kita kepada keikhlasan memerintah senantiasa menjadi pegangan utama.

Saya juga percaya sekiranya seluruh ahli-ahli Umno tahu keadaan sebenarnya, maka persoalan yang nyata adalah "apakah ini perlaksanaan Umno dan apakah Umno bergantung kepada kuasa-kuasa yang diperuntukkan, lalu menggunakan kuasa tersebut demi survival Umno. Bukankah sokongan padu sepatutnya menjadi teras kekuatan Umno?

Surat terbuka saya kali ini memohon agar Dato' Seri Abdullah Badawi tampil dengan berani, bertindak sama ada memberi justifikasi penahanan mereka yang sebenarnya atau membebaskan mereka sekiranya penahanan mereka semata-mata kerana politik.

Sekiranya pula mereka didapati melakukan selain daripada perselisihan politik, saya percaya mereka harus dibawa ke muka pengadilan bagi menentukan kesalahan mereka.