Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu lebih melibatkan parti-parti komponen BN yang lain dalam sebarang dasar kerajaan untuk memastikan penerangannya disampaikan kepada rakyat dengan berkesan, kata bekas senator MCA, Gan Ping Sieu.

"Najib terlepas pandang satu perkara, beliau tidak melakukan transformasi politik yang cukup.

"Semua transformasi perlu bermula dengan transformasi politik.

"Jika kita bercakap tentang keterlibatan (inclusiveness), ia perlu bermula dari rumah kita sendiri," kata Gan dipercayai merujuk 'rumah' sebagai parti Barisan Nasional.

Menurut Gan (kiri) lagi, program transformasi ekonomi dan program transformasi yang digagaskan Najib selama ini juga tidak 'dibeli' rakyat kerana mereka yang mempunyai integriti tidak dikerah untuk bersama-sama 'menjual' gagasan itu.

"Najib tidak dapat 'menjual' program transformasi dan ETP beliau.

"Anda perlukan orang ramai untuk 'membelinya' tetapi anda juga memerlukan mereka yang berintegriti untuk menjualnya," kata Gan sewaktu bercakap pada forum anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di Kuala Lumpur, tengahari ini.

Bercakap lanjut, Gan turut mengkritik inisiatif kerajaan yang menurutnya tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau memberi contoh pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM650 setahun yang menurutnya tidak mampu pun untuk menampung kos pengangkutan ke sekolah isi rumah dengan empat orang murid sekolah.

Kata Gan, dengan andaian tambang bas sekolah adalah RM120 untuk setiap murid, satu perempat daripada pendapatan bulanan isi rumah tersebut dihabiskan untuk yuran bas sekolah sahaja.

"Anda perlu pergi kepada teras masalah dan dalam contoh ini, penyelesaiannya adalah dengan memberikan perkhidmatan bas percuma," kata Gan.

Seorang lagi panel forum Malaysia's New Politics: What's Next After 13GE and Party Elections? iaitu MP Kluang, Liew Chin Tong mengkritik siri kenaikan harga barang yang disifatkkanya bermula daripada "inflasi cetusan kerajaan".

"Kerajaan tidak melaksanakan polisi yang betul dalam kenaikan harga barang yang mengurangkan pendapatan boleh guna hampir 60 peratus rakyat.

"Ini akan membawa kepada masalah (menggalakkan) permintaan (barangan dan perkhidmatan) dalam negara," katanya.

Beliau seterusnya menyeru sektor perniagaan agar menggesa seorang menteri kewangan sepenuh masa dilantik menggantikan Najib.

"Demi ekonomi, sektor perniagaan perlu mendesak agar seorang menteri kewangan sepenuh masa yang mampu berhadapan dengan cabaran di hadapan dan menguruskan ekonomi sepenuh masa," katanya.

Forum selama satu setengah jam itu dimudah cara Ketua pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh dan bekas MP Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.