Dua pegawai PKNS yang dipindahkan ke pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) ketika siasatan terhadap kontroversi penamatan kontrak Azmin Ali masih berlangsung boleh mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang, kata MP Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Abdullah Sani berkata tindakan memindahkan Pengurus Besar PKNS Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif Norita Mohd Sidek tanpa prosedur yang sempurna seperti surat tunjuk sebab dianggap tidak adil.

"Sesiapa sahaja yang bercanggah dengan prosedur undang-undang, kita jangan kompromi. Mangsa boleh ambil tindakan.

"Ini tak boleh berlaku dalam kita nak mereformasikan pentadbiran, pembelaan harus dibuat.

"Norita boleh angkat kes ini ke mahkamah kalau dia tak puas hati.

"Pandangan saya dari segi perundangan, saya nampak Norita dianiaya," katanya yang juga timbalan presiden Kesatuan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). 

Abdullah Sani berkata demikian sewaktu hadir bersama anggota majlis pimpinan PKR Selangor ke pejabat PKNS untuk menyerahkan nota sokongan dan setia kawan kepada penjawat awam di PKNS Shah Alam.

Nota sokongan itu antara lain menyebut PKR Selangor memandang serius isu pertukaran Omar dan Norita ekoran percanggahan antara kerajaan negeri dan PKNS serta bertegas supaya mereka tidak dihukum sebelum dibicarakan dan membela diri.

Nota tersebut diserahkan ADUN Batu Caves Amiruddin Shari kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim.

Amiruddin turut menyerahkan sejambak bunga kepada Ishak sebagai tanda minta maaf PKR kepada penjawat awam ekoran pemindahan dua pegawainya ke pejabat SUK.

Setiausaha PKR Selangor itu berkata keputusan untuk menghantar nota sokongan itu dibuat kerana berpandangan penjawat awam di Selangor tiada platform untuk mendapatkan pembelaan apabila teraniaya.

"Memorandum ini adalah satu nota sokongan kepada seluruh pegawai dan warga PKNS sebagai tanda pendirian sebenar MPN (Majlis Pimpinan Negeri) Selangor terhadap isu PKNS," kata Amiruddin.

Rombongan kira-kira 30 orang itu turut memegang kain rentang bertulis 'PKR Selangor mempertahankan hak penjawat awam' sewaktu menyerahkan nota sokongan tersebut.

Turut bersama rombongan itu adalah bekas ahli parlimen Kapar S Manickavasagam.