Wakil rakyat Machang Bubuk, Lee Khai Loon menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada kecaman yang diterimanya ekoran menganjurkan 'flashmob kangkung' yang dianggap tidak sensitif dan menghina perdana menteri.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mahu beliau mempertimbangkan permohonan maaf bagi mengelak diputar belit dan membangkitkan kebencian kaum.

“Oleh itu, saya tidak akan tunduk kepada kenyataan perkauman dan keganasan Umno.

"Mereka adalah pencetus yang sebenar kepada apa yang berlaku baru-baru ini,” katanya yang juga ketua penerangan Pemuda PKR (AMK).

Lee menegaskan, sekarang paling mustahak baginya untuk meneruskan gerakan membantah kenaikan harga barang serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenal.

Dalam kenyataannya petang semalam, Lee juga membangkitkan elemen “perkauman dan keganasan” dalam perhimpunan membantah tindakannya yang disertai pemimpin Umno.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, kenyataan Umno Pulau Pinang yang memisahkan perkaitan mereka dengan penganjuran himpunan itu membuktikan “kad perkauman”tidak berkesan lagi dalam keadaaan politik matang.

Lee juga memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang berkata, sebagai orang Melayu beliau tidak rasa terhina dengan tindakan menyumbat kangkung ( atas ) ke m ulut replika perdana menteri itu.

“Flash mob kangkung adalah simbolik yang mengharapkan perdana menteri boleh prihatin terhadap perasaan rakyat yang susah dan tidak bermaksud untuk menghina sesiapa,” tegasnya sekali lagi.