Desakan Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon memohon maaf secara terbuka berhubung isu 'kangkung' merupakan budaya pembangkang bagi menutup kesalahan mereka, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya.

Katanya, memang menjadi budaya pembangkang menimbulkan isu yang membuatkan rakyat marah dan selepas itu memohon maaf.
    
"Permohonan maaf sebegitu sebenarnya sudah tidak mempunyai nilai kerana ia merupakan budaya parti pembangkang untuk mengalih pandangan selepas mengguris hati pelbagai pihak," katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Awal Persekolahan Parlimen Tasek Gelugor, di Butterworth semalam.
    
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang melaporkan Lim mahu ADUN PKR itu memohon maaf kerana menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Terdahulu di majlis itu, Shabudin yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor dalam ucapannya berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM2 juta untuk diagihkan kepada 20,000 pelajar iaitu RM100 setiap pelajar di 32 sekolah di Parlimen berkenaan.

- Bernama