Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk wajar mempertimbangkan memohon maaf ekoran 'flash mob kangkung' anjurannya yang dikatakan melampau, menyakitkan hati dan tidak sensitif, kata DAP.

Pemimpin popularnya Lim Kit Siang ( kanan ) berkata, pertimbangan perlu dibuat supaya isu itu tidak diputar belit oleh pihak yang mahu membangkitkan kebencian perkauman.

“Saudara Lee wajar mempertimbangkan untuk meminta maaf, terutamanya kerana ada pihak yang merasakan protes sedemikian sebagai melampau, menyakitkan hati dan tidak sensitif (dan saya termasuk dari kalangan mereka),” katanya.

Lim berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab membangkitkan emosi memperhebat kebencian kaum dan agama, ketegangan dan konflik demi objektif utama mencetuskan sekali lagi peristiwa 13 Mei.

Tindakan itu, tambah Lim, diharapkan memulakan “kitaran berbudi” di kalangan pemimpin dan aktivis politik supaya lebih sensitif kepada rasa tersinggung dalam konteks masyarakat pelbagai latar dan situasi politik yang sedang hangat.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata, meskipun protes Lee boleh dianggap melampau, menyakitkan hati dan tidak sensitif, beliau sudah pun menjelaskan tidak berniat menghina perdana menteri.

Sebaliknya, tambahnya lagi, ia bertujuan menunjukkan betapa berat beban dan kesusahan yang ditanggung rakyat akibat dari kenaikan harga barang.