Pertelingkahan antara pentadbiran Selangor dan PKR negeri berlarutan ekoran tindakan memindah keluar dua pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

PKR Selangor menyifatkan tindakan itu memalukan dan tidak mewakili PKR sebagai sebuah parti berprinsip dan demokratik.

Menyifatkannya sebagai "menghukum tanpa bicara', Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei (kanan) berkata mereka menerusi mesyuarat malam tadi mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu.

"Adalah tidak wajar bagi kepimpinan menteri besar mengambil tindakan terburu-buru untuk menghukum penjawat awam tanpa memberi peluang pembelaan dan sebelum siasatan dilakukan secara menyeluruh.

"PKR bertegas untuk mempertahankan prinsip keadilan dan hak setiap penjawat awam yang terlibat untuk membela diri dan disiasat secara berhemah tanpa memalukan sesiapa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyatakan rasa setia kawan kepada kedua-dua pegawai itu, Shuhaimi berkata mereka berdua menjadi mangsa keadaan dalam pemindahan tersebut.

"Amatlah malang bagi sebuah negeri yang melaungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan mengambil langkah mengeruhkan lagi keadaan seperti pepatah Melayu 'orang lain yang makan nangka, orang lain pula terkena getahnya'," kata Shuhaimi.

Semalam, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dipindahkan serta merta ke pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK).

Menurut Khalid , pertukaran itu dibuat bagi membolehkan siasatan dibuat berhubung surat pemecatan Azmin yang dikeluarkan oleh Othman dibuat pada 8 Januari lalu tanpa pengetahuan beliau.