Mahkamah Persekutuan telah menjadualkan semula tarikh mendengar permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu oleh mingguan Katolik The Herald yang sebelum ini dijadual pada 24 Februari, kepada 5 Mac.

The Herald merayu keputusan Mahkamah Rayuan Oktober lepas, yang membenarkan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam versi Bahasa Malaysia penerbitan itu untuk merujuk kepada Tuhan.

Peguam The Herald, S Selvarajah memaklumkan kepada Malaysiakini mengenai perkembangan terbaru ini.

Tarikh ganti diputuskan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan November lepas bagi Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan kebenaran itu.

Dalam kes-kes sivil di Mahkamah Persekutuan, kebenaran perlu diperolehi daripada mahkamah untuk membolehkan rayuan itu didengar sepenuhnya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply, semasa dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran telah dijadual semula ke 5 Mac.
    
Sementara itu, seorang daripada peguam yang mewakili gereja itu, S Selvarajah berkata beliau dimaklumkan pada Isnin oleh timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai pertukaran tarikh pendengaran itu.
    
Katanya timbalan pendaftar memberikan pengesahan secara lisan mengenai tarikh baharu itu.
    
Selvarajah berkata beliau dimaklumkan tarikh lebih awal itu tidak sesuai untuk beberapa hakim yang menjadi anggota panel untuk mendengar permohonan itu.
    
Pada 14 Oktober tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.
    
Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
    
Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara lain, diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.
    
Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Malaysia, khusus untuk penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.
    
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
    
Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lepas dengan mengemukakan 26 soalan mengenai Mahkamah Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).
    
Soalan berkaitan perlembagaan yang dikemukakan oleh barisan peguam yang mewakili gereja itu adalah untuk membahaskan mengenai Islam sebagai agama persekutuan, kebebasan bersuara, beragama dan hak kepada pendidikan agama.