Seorang orang kurang upaya (OKU) yang turut menghidapi pelbagai penyakit merayu untuk mendapatkan tempat tinggal setelah beliau dan suaminya dihalau dari rumah sewa mereka kerana gagal membayar sewa.


"Dah seminggu akak dan abang duduk dekat Stesen Bas Shahab Perdana lepas kena halau keluar dari rumah sewa. Sebelum ini akak menyewa di Kampung Aman Timur di Pokok Sena tapi dihalau keluar kerana gagal membayar duit sewa selama dua bulan.


"Kami dah menyewa di situ selama tiga bulan. Sebulan kami perlu bayar RM200 tapi kami tak ada duit sebab akak tak boleh kerja dengan keadaan akak yang tak boleh melihat dan abang pula sudah berhenti kerja," kata Sazlina Salleh, 38, ketika ditemui di stesen bas tersebut di Alor Setar hari ini.


Beliau yang hilang penglihatan akibat menghidap penyakit kencing manis turut menghidap penyakit darah tinggi dan bengkak-bengkak pada kaki.

"Bukan sahaja tak berumah, duit untuk makan pun kami tak ada. Kami hanya makan kalau ada orang yang sudi tolong kami, kalau tak ada kenalah tahan lapar sehingga esok," kata Sazlina.


Suaminya Zainudin Zainun, 49, berharap terdapat pihak yang sudi membantu mereka mendapatkan rumah.


Beliau berkata sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai tukang kebun dan bekerja di kedai makan tetapi mengambil keputusan berhenti kerana mahu memberi perhatian kepada isterinya.


"Abang berhenti sebab tak ada siapa yang boleh tengokkan kakak masa abang bekerja. Abang hantar kakak tumpang di rumah kawan, tapi sampai bila nak menumpang orang," katanya.


Zainudin berkata duit bantuan daripada Jabatan Zakat sebanyak RM400 dan Bantuan OKU Tak Bekerja daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka.


Penolong Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Kedah, Hassan Ahmad berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu dan mencari jalan bagi membantu pasangan suami isteri berkenaan.


"Kita perlu lihat dahulu bantuan apa yang perlu diberikan kepada mereka dan sekiranya memerlukan bantuan kewangan, kita akan bantu bagi memastikan nasib mereka terbela," katanya.

- Bernama