Ulama PAS: Bangkit tentang usaha jahat Comango
Dewan Ulama PAS mengingatkan, ulama dalam parti itu tidak boleh berpeluk tubuh dengan tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dalam isu hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketuanya AS Datuk Harun Taib (kiri) berkata, gabungan NGO itu hanya memperjuangkan "hak kemungkaran seks songsang" supaya diakui undang-undang negara.
"Usaha ini jika dibiarkan akan merencatkan masyarakat bermoral apatah lagi masyarakat beragama di Malaysia. Ulama haraki (gerakan) tidak boleh berpeluk tubuh berdiam diri melihat kemungkaran ini.
"Kesedaran mesti digerakkan oleh alim ulama agar masyarakat Malaysia bangkit menentang usaha usaha jahat ini," katanya dalam ucapan Muktamar Dewan Ulama PAS di Shah Alam hari ini.
Teks ucapan Harun bertemakan "Ulama haraki menangani fasad (kerosakan), mengisi kemenangan" dibacakan oleh timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di Shah Alam pagi ini.
Dalam ucapannya juga, Harun membidas tindakan kumpulan tersebut kerana "melanggar lampu merah" atas nama hak asasi peribadi.
"Tidakkah mereka lupa ia telah melampaui batas hak asasi anggota masyarakat lain? Islam meletakkan hak masyarakat lebih diutamakan berbanding hak asasi peribadi," katanya.
Hudud: Tanggungjawab Pusat beri laluan
Sementara itu, ekoran peningkatan jenayah senjata api, Harun menempelak kerajaan pusat yang dilihatnya belum bersedia kembali kepada undang-undang Islam merangkumi hudud, qisas (bunuh balas) dan diyat (penalti).
Katanya, PAS di Kelantan dan semasa memerintah Terengganu dahulu telah menjalankan kewajipannya dengan menjadikan undang-undang jenayah Islam sebagai sebahagian daripada undang-undang negeri.
"Tinggal lagi kewajipan kerajaan pusat untuk memberikan laluan mudah bagi kedua-dua kerajaan ini melaksanakannya," katanya.

