Mengenai kebebasan bersuara di Malaysia, saya berasa kita sedang mengalami suatu transformasi yang tidak dapat dielakkan. Ia sebahagian daripada proses revolusi maklumat. Melihat apa yang berlaku sekarang ini, malaysiakini patut digalakkan, bukannya disekat. Seumur hidup saya, saya tidak pernah lihat rakyat Malaysia begitu jujur melantangkan apa yang mereka rasakan adalah benar.

Saya mengaku bahawa selama ini, saya hanya menyuarakan sokongan jika saya menyetujui sesuatu yang dibuat oleh kerajaan, tetapi hanya berdiam diri sekiranya saya tidak sependapat mengenainya, kerana bimbang saya mungkin menyentuh sesuatu yang 'sensitif'.

Perbincangan dan perbahasan di Internet akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat kita yang selama ini berdiam diri untuk memberi pendapat mereka biarpun mengenai perkara-perkara yang selama ini dianggap 'sensitif'.

Rakyat mungkin boleh 'diajar' supaya membisu, tetapi tidak pula untuk mengubah pemikiran mereka. Dengan menggunakan kuasa, kerajaan nampaknya tidak boleh mendapat sokongan padu rakyat, tetapi sokongan yang separuh hati.

Kita sepatutnya tidak perlu berasa malu kalau dilihat bertentangan di antara satu sama lain di Internet. Orang asing sepatutnya menyanjung kita dan negara kita kerana dapat berbahas secara bebas dan terbuka.

Rakyat British dan ahli parti sendiri boleh menentang keputusan Tony Blair secara terbuka tanpa rasa bimbang yang mereka akan dikenakan tindakan. Tidak sesiapapun yang mentertawakan mereka. Inilah kebebasan bersuara. Ini adalah tahap kematangan yang boleh dicapai.

Akan tetapi, saya bukan meminta supaya kita melakukan tunjuk perasaan di tempat awam seperti yang selalu dilakukan oleh orang barat. Polis mempunyai tugas yang lebih penting seperti memerangi jenayah daripada menghabiskan masa mereka mengawal keadaan disebabkan oleh tunjuk perasaan.

Saya bercadang kita mengadakan forum bebas di Internet seperti malaysiakini. Saya yakin kita sudah cukup matang untuk berbahas secara intelektual tanpa menggunakan emosi semata-mata.

Tujuan kita adalah untuk membina negara, bukan memusnahkannya. Tanpa saluran seperti ini, golongan yang kuat akan bersuara lantang, pihak yang lebih lemah akan terus membisu. Kita tidak akan mencapai tahap perpaduan rakyat yang ikhlas seperti yang kerajaan harap-harapkan.

Saya berasa kita mesti belajar untuk memberi dan menerima kritikan. Pada masa perbahasan, sesuatu yang dianggap fakta oleh satu pihak mungkin dianggap sebagai tuduhan palsu oleh pihak lain.

Saya berpendapat bahawa kita tidak mungkin seratus peratus menyokong sesuatu pihak atau menolak sepenuhnya. Oleh itu, kita sepatutnya mengelak dari anggapan mutlak (misalnya: "kita betul sepenuhnya", "mereka salah sama sekali", atau "kita membela bangsa", "mereka pengkhianat negara") sedangkan kita sama-sama berniat membina negara dengan pendekatan yang berbeza.

Soal yang mana benar dan yang mana kurang tepat, biarlah pembaca membuat kesimpulan sendiri. Saya percaya kebenaran boleh diuji melalui perbincangan dan perbahasan yang berterusan.

Saya berharap malaysiakini akan sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi satu lagi suara mutlak pembangkang di Internet. Berita yang berat sebelah berpihak kepada kerajaan mahupun pembangkang sahaja tidak akan menguntung mana-mana pihak, bahkan akan merosakkan satu-satunya halaman yang kita boleh mendengar suara kebebasan dan adil dari semua pihak.

Musuh kita bukanlah kerajaan Barisan Nasional (BN), pembangkang, ataupun sesuatu kaum, tetapi tabiat kita yang belum dapat menyesuaikan diri dengan kebebasan bersuara yang dibawa oleh revolusi maklumat.

Akhir sekali, saya merayu kepada pihak kerajaan supaya terus memberi peluang supaya kebebasan bersuara terus digalakkan. Kita boleh membina budaya kebebasan bersuara a la Malaysia yang sederhana, ikhlas, tanpa kekerasan dan ketakutan.

Sila berikan teguran kepada saya sekiranya ada sesiapa yang berasa bahawa pendapat saya kurang tepat.