Saya amat risau dengan tindakan tergesa-gesa pihak polis menyerbu Malaysiakini.com. Tindakan ini menunjukkan bahawa polis tidak lagi bertindak untuk kepentingan rakyat. Tetapi, mereka sebenarnya mengikut telunjuk Umno semata-mata. Jika tidak, kenapa tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh polis apabila pemimpin parti pembangkang membuat laporan polis terhadap pemimpin daripada Umno?

Saya juga amat kecewa dengan tindakan tidak rasional Suruhanjaya Pilihanraya yang mahukan semua calon pilihanraya menandatangani akujanji. Semua rakyat Malaysia pasti tidak terkejut jika pemimpin Barisan Nasional melanggar akujanji itu kelak, mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan. Tetapi, jika ada calon Barisan Alternatif yang dituduh, maka tindakan segera akan diambil.

Pendeknya, agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat keseluruhannya, merelakan untuk menjadi ejen kepada Umno.

Sebagai seorang pelajar di United Kingdom, yang ditaja oleh sebuah agensi kerajaan Malaysia, saya juga merasakan bahawa saya sedang dizalimi oleh pihak penaja saya. Walaupun pada hakikatnya saya ditaja dengan menggunakan wang rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai ideologi politik, penaja saya memaksa agar saya mengikut telunjuk mereka dengan cara yang amat kotor.

Baru-baru ini, pihak penaja saya telah menghubungi saya untuk memberi amaran kerana saya dituduh hadir dalam satu program pembangkang. Ini berlaku kerana saya telah hadir dalam satu ceramah umum dengan pemimpin PAS.

Saya amat kecewa kerana agensi kerajaan yang menaja saya ini jelas bertindak berat sebelah kerana masih ramai lagi pelajar yang terang-terang terlibat dengan politik melalui Kelab Umno. Kenapa mereka ini tidak diberi amaran yang sama oleh pegawai agensi penaja? Adakah pegawai-pegawai ini mengikut telunjuk Umno, sepertimana pihak polis dan SPR di Malaysia yang juga berat sebelah?

Saya juga tidak faham kenapa kami tidak dibenarkan langsung untuk menghadiri program ceramah. Saya tidak menjadi ahli PAS tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya merasakan perlu untuk saya mengikuti perkembangan semasa.

Saya tidak dimarahi apabila hadir ke program Datuk Suhaimi Ibrahim (Umno) tetapi kenapa apabila hadir ke program PAS, berlaku pula sebaliknya? Adakah semua pelajar yang ditaja hanya boleh mengikuti program Umno dan bukan program PAS?

Sikap double standard ini seolah-olah membuktikan bahawa Umno semakin nazak dan hampir lemas. Mereka cuba berpaut dengan apa-apa sahaja mekanisme untuk menghalang penyebaran maklumat yang benar, sama seperti apa yang dilakukan terhadap Malaysiakini.com.

Dalam kes saya (dan rakan-rakan lain), Umno menyalahgunakan agensi kerajaan untuk menghalang kami mendapatkan maklumat yang seimbang. Saya kesal dan malu dengan tindakan itu. Penyalahgunaan kuasa ini perlu diberhentikan. Tindakan mereka terhadap saya tidak akan menakutkan saya, malahan membuatkan saya lebih tidak suka kepada mereka.