Pengendali laman-laman web yang mendesak perletakan jawatan dua pemimpin Parti KeADILan Nasional hari ini menggesa mereka mengambil sikap positif dan tidak mencontohi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Yang ditegur ambil sikap positif dan jika anda bukan the best out of the best (pemimpin yang terbaik), beri laluan, undur, jangan amalkan sikap 'Mahathirisme'," kata mereka melalui emel kepada malaysiakini awal pagi ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menghuraikan maksud sikap "Mahathirisme" tetapi dipercayai ia berkaitan dengan keengganan Perdana Menteri meletakkan jawatan walaupun sudah 20 tahun mentadbir negara dan sering didesak berbuat demikian.

Sejak Rabu lalu, lima laman web reformasi mendesak Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar, dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, meletakkan jawatan berikutan "kegagalan" mereka menghayati reformasi seperti dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita itu mendapat liputan meluas dalam akhbar-akhbar arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Minggu dan The Star, sejak dua hari lalu sehingga memaksa Dr Mahathir memberikan ulasan.

"Mereka (pengendali web) lebih baik daripada yang lain dalam dunia... berada dalam dunia tersendiri," sindir Perdana Menteri seperti dilaporkan dalam Berita Minggu semalam.

Pengendali web mempertahankan tindakan "bertafakur seketika" sebagai satu langkah yang "amat perlu dalam membangunkan ummah, bangsa dan negara."

"Dalam mengorak langkah ke agenda perubahan, 'pengauditan' yang total amat perlu," kenyataan itu, yang turut dipaparkan di [#1]Laman Reformasi[/#] mulai 1:30 pagi ini, dipetik.

Pengendali itu juga menggesa semua penyokong reformasi dan KeADILan memberikan sokongan penuh kepada calon parti itu, Ruslan Kasim, dalam pilihan raya kecil Telok Kemang.

Semalam, Laman Reformasi, [#2]Komentar[/#] dan [#3]Mahafiraun 2020[/#] mula mengumumkan majlis pengenalan calon yang dijadualkan hari ini di Pengkalan Durian Linggi dalam kawasan pilihan raya itu mulai jam 8:30 malam.

Mereka turut menyiarkan nama Chandra sebagai salah seorang yang akan menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut, selain beberapa tokoh pembangkang, termasuk Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, Presiden PRM Dr Syed Husin Ali, Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Ismail dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

"Kami menyeru semua bersatu tenaga membantu calon kita Ruslan Kasim menentang kezaliman dan menjana kejayaan," kata mereka.

"Tenaga berkaliber, excellence (cemerlang), fighter (berdaya juang) dan mature (matang) amat diperlukan lebih-lebih lagi di Telok Kemang."

Dua hari lalu, Chandra menuduh pengendali web itu mendesak beliau dan Anuar berundur dengan tujuan menewaskan calon KeADILan di Telok Kemang.

Pengendali web juga berikrar akan meneruskan operasi untuk kepentingan reformasi. Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, semua tapak web masih lagi menutup capaian (access) ke laman masing-masing.

Mereka juga percaya KeADILan akan bersifat terbuka, peka dan responsif dan tidak sama seperti Umno atau Barisan Nasional "yang dicucuk hidungnya dan menjadi Pak Angguk (yes-man)."

"Perbezaan inilah yang membuat keADILan begitu menonjol walaupun pada usia yang begitu muda," kenyataan bertajuk "Anjakan Paradigma Gerakan Reformasi" itu dipetik.

"Perjuangan kami adalah ikhlas, tiada pangkat dan kedudukan yang dikejar dan dicari. Risiko yang diambil begitu tinggi di mana akta zalim ISA sentiasa menunggu kami," kata mereka.