Chandra: Pengendali web menipu
Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Chandra Muzaffar, hari ini mendakwa pengendali web yang mendesak beliau meletakkan jawatan Rabu lalu sanggup menipu demi memburukkannya dan Setiausaha Agung parti itu, Mohd Anuar Tahir.
"Mereka sanggup menipu dan menyebarkan cerita separuh benar demi memburukkan Anuar Tahir dan saya," katanya kepada malaysiakini petang ini. Kenyataan yang sama juga diedarkan kepada beberapa agensi berita semalam.
Tindakan lima laman web reformasi itu disifatkannya sebagai sejenis "politik tikam belakang" yang melemahkan amalan ketelusan dan akauntabliti.
Tambahnya, usaha mendesak perletakan jawatan itu bertujuan mengalahkan calon parti itu dalam pilihan raya kecil Telok Kemang. Calon parti itu, Ruslan Kasim, dijangka bertemu calon Barisan Nasional, S Sothinathan pada hari penamaan calon Selasa depan.
"Jika seseorang mahukan calon KeADILan menang, dia tidak akan melancarkan serangan terhadap Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung (menjelang pilihan raya itu)," kata Chandra.
Bantahan laman reformasi itu bertujuan "mengurangkan secara mendadak" jumlah undi partinya dan akan melemahkan KeADILan, kata Chandra lagi.
"(Pengendali web) yang tidak bertanggung jawab itu mahukan kejayaan besar buat BN," katanya. "Kemenangan besar BN itu nanti akan menyemarakkan semangat pakatan parti pemerintah itu."
Dalam pilihan raya umum lalu, calon KeADILan, N. Gopalakrishnan tewas 9,942 undi di tangan calon Barisan Nasional, S. Anbalagan.
Chandra juga menafikan Anuar bertanggungjawab dalam "perpecahan" dalam parti itu. "Sebaliknya, beliau (Anuar) menolong mencari penyelesaian masalah dalaman kami," katanya.
Bekas pensyarah Universiti Malaya itu berkata beliau mempunyai hubungan yang "mesra" dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Anwar secara terbuka mengakui peranan saya membangunkan parti dan mengukuhkan Barisan Alternatif," katanya, merujuk mesej Anwar sempena sambutan ulang tahun pertama KeADILan pada 1 Mei lalu.
Bagaimanapun, Chandra berkata beliau tidak terlibat menyusun strategi pilihan raya umum November lalu.
"Saya terlibat dalam perundingan mendapatkan kerusi dan berjaya mendapatkan (bagi pihak KeADILan) paling banyak kerusi berbanding parti-parti lain," katanya.
"Saya juga memainkan peranan penting memujuk gabungan (BA) itu untuk menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri, jika kami menang," jelas Chandra.

