versi terkini Aktivis sebuah pertubuhan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Badaruddin Ismail ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jam 9 pagi tadi di Hulu Kelang, Selangor.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Pak Din, ditahan oleh lima anggota polis berpakaian biasa ketika bersarapan di Medan Selera, Taman Melawati, kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Ibu pejabat polis di Bukit Aman petang ini mengesahkan Pak Din ditahan di bawah ISA.

Menurut anaknya Emilia pagi tadi, seorang pegawai polis berpangkat inspektor menghubunginya dan mengesahkan tangkapan itu.

Perhimpunan tanpa permit

Bagaimanapun pegawai itu tidak menyebutkan tangkapan itu di bawah sebarang peruntukan undang-undang setakat waktu itu dan hanya menyatakan polis akan menghubungi keluarga aktivis itu kemudian, tambah anaknya lagi.

Pak Din popular di kalangan penyokong reformasi kerana sering membantu mereka yang ditahan dan menghadapi perbicaraan bagi kes-kes perhimpunan tanpa permit.

Tangkapan terbaru ini menjadikan jumlah semuanya 10 orang sejak operasi 10 April lalu.

Selasa lalu, seorang aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional Lokman Noor Adam ditahan ISA di Shah Alam, Selangor selepas tengah malam.

Mereka yang ditahan sebelum ini adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis-aktivis pergerakan itu Dr Badrul Amin Baharom dan Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

Tidak berani bangun

Adik aktivis Suaram itu, Azman Ismail, mengecam polis kerana tidak menjelaskan sebab-sebab penahanan itu kepada keluarga abangnya. Keadaan itu menunjukkan pasukan polis tidak cekap dan tidak berdaya melawan "tuan-tuan politik" yang mengarahkan tangkapan itu, katanya lagi.

"Polis tidak berani bangun dan menyertai perjuangan menegakkan keadilan dan keselamatan negara ini," katanya.

"Pak Din, seorang yang jujur dan ikhlas, pernah ditahan sebelum ini (Oktober, 1998) dan dibelasah (oleh polis) sehingga beliau hampir pengsan," kata Azman dalam suratnya kepada malaysiakini, sebaik sahaja membaca berita tangkapan abangnya itu.

"Satu-satunya jenayah beliau adalah memperjuangkan keadilan dan golongan yang daif," tambahnya lagi.

Azman, yang berkata ayah mereka dahulu juga seorang pegawai polis, mendakwa telah menulis tiga kali kepada pasukan berkuasa itu tentang kecederaan yang dialami Pak Din ketika ditahan polis tiga tahun lepas. Bagaimanapun beliau tidak terima sebarang jawapan setakat ini.

Bersama pasukan polis

"Saya berbangga bapa seorang pegawai polis, tetapi polis hari ini harus berasa malu pada diri mereka. Mereka tidak berani bangun dan berkata benar," katanya lagi.

Seorang lagi abangnya, kata Azman, yang turut dibelasah dan ditahan bersama Pak Din pernah bertugas bersama pasukan polis.

"Polis bukan sahaja dibenci oleh keluarga kami tetapi juga keluarga mereka yang disalah ditangkap, dibelasah, dianiayai dan dibunuh oleh polis," kata Azman.

Pak Din, beristeri dan mempunyai tiga orang anak.

Berita-berita berkaitan