Bekas pengarang majalah proreformasi yang diharamkan, Detik, hari ini mengumumkan beliau memohon permit Kementerian Dalam Negeri bagi sebuah majalah baru dengan menggunakan namanya sendiri.

Ahmad Lutfi Othman memberitahu malaysiakini bahawa majalah baru itu tidak berbeza daripada Detik dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat miliknya, Penerbitan Pemuda.

"Saya memohon menggunakan nama saya sendiri dan cadangan ketua pengarangnya adalah juga saya sendiri," katanya.

Lutfi juga berkata bahawa beliau sengaja membuat permohonan untuk majalah tersebut di Unit Kawalan Penerbitan KDN semalam, menjelang Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang akan dirayakan pada 3 Mei depan.

"Ia akan menguji sejauh mana komitmen KDN dan menterinya sendiri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap isu kebebasan media yang hangat dibincangkan sekarang ini," katanya.

Lutfi masih berharap bahawa KDN akan meluluskan permohonan tersebut walaupun beliau menyatakan keraguannya berhubung kelulusan permitnya itu berdasarkan tekanan kementerian yang berlebihan terhadap kebebasan akhbar akhir-akhir ini.

>Awal bulan lalu, kementerian mengehadkan penerbitan tabloid PAS, Harakah kepada dua kali sebulan dan pertengahan bulan yang sama, majalah Detik pula diharamkan secara rasmi. Sementara akhbar mingguan politik, Eksklusif, tidak diluluskan permit yang baru mulai 15 April lalu.



(Foto: Lutfi, berbaju putih, mengusung 'keranda' Detik yang asalnya untuk digunakan dalam satu perhimpunan protes terhadap KDN)

"Disebabkan KDN sendiri telah memperakui bahawa pengharaman Detik dahulu tidak ada kena-mengena dengan kandungannya, dan majalah baru saya ini juga mempunyai pendekatan dan kandungan yang hampir serupa, dengan tenaga sidang pengarang yang sama, saya fikir permohonan ini insya-Allah akan berjaya," kata Lutfi.

Walau bagaimanapun, beliau enggan memaklumkan nama majalah yang bakal diterbitkan dua kali sebulan itu.

"Atas nasihat dan syarat-syarat yang ditentukan KDN, saya tidak dapat memaklumkan nama majalah berkenaan," kata Lutfi.

Menurutnya lagi, majalah baru itu memuatkan laporan dan analisis tentang perkembangan semasa mengenai ekonomi, pendidikan, politik, budaya, agama dan sosial.

"Namun begitu, kami berjanji akan cuba memberikan liputan yang lebih adil, bertanggungjawab dan seimbang serta tidak memihak kepada satu-satu golongan sahaja. Mungkin sedikit berbeza dengan Detik, aspek politik kepartian akan dikurangkan, dan diimbangi dengan liputan serta analisis terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat," tambahnya.

Sementara itu, mingguan Eksklusif mengumumkan bahawa penerbitan tabloid tersebut diberhentikan untuk sementara waktu mulai 22 April lalu.

Menurut kenyataan rasmi penerbit tabloid tersebut Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, permit penerbitan Eksklusif, yang tamat tempoh pada 15 April lalu masih lagi belum diluluskan oleh KDN hingga ke hari ini.

Pada Isnin lalu, malaysiakini melaporkan permohonan baru akhbar itu kini dibawa ke peringkat perbincangan menteri berkenaan.

Mingguan itu yang merupakan saingan terdekat Harakah, diterbitkan mulai April tahun lalu dan sering menyiarkan pandangan dan kenyataan pembangkang.

Selepas akhbar PAS itu dihadkan penerbitannya, Eksklusif menjadi alternatif mingguan untuk mengetahui berita-berita politik yang "berbeza" daripada sumber maklumat arus rasmi.