Polis menahan sepasang kekasih dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu sejak tiga bulan lepas, dalam pemeriksaan di Tanjong Tokong, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt S Batumalai berkata susulan penangkapan lelaki dan wanita masing-masing berusia 43 dan 38 tahun itu, polis membongkar makmal mini memproses dadah di sebuah pangsapuri di Pulau Tikus.

"Dalam serbuan di pangsapuri itu, kami menemui pelbagai jenis dadah termasuk 2.5 kilogram heroin, 380 pil ecstasy serta 625 gram Syabu dengan anggaran nilai RM350,000 dan pelbagai bahan kimia serta peralatan yang diguna untuk memproses dadah itu.

"Berdasarkan kuantiti bahan kimia dan peralatan memproses dadah yang dijumpai, kami yakin bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran negeri sebelah utara seperti Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah manakala kekasihnya yang merupakan rakyat Indonesia ialah penganggur.

Polis turut menyita wang dalam akaun dan barang kemas bernilai RM160,000 serta sebuah kereta jenis Toyota Vios.

- Bernama