Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Seri Delima RSN Rayer menerima kejutan hari ini apabila keluarganya menerima bungkusan plastik mengandungi peluru hidup di rumahnya di Island Park, Green Lane di George Town.
    
Menurut laporan polis dibuat bapa ADUn itu, Rajaji Jeganathan Rayer, bungkusan peluru jenis 9mm itu dihantar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali kira-kira jam 7 pagi ini.
    
Katanya, sejurus menerima bungkusan yang berisi peluru itu, beliau telah menghubungi anaknya yang juga seorang peguam, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong di George Town.
    
"Dalam perjalanan ke Balai Polis, anaknya sekali lagi dikejutkan dengan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan bunuh terhadapnya," katanya dalam laporan polis itu.
    
Baru-baru ini Rayer dilantik sebagai peguam bela dalam kes lima penjenayah
 
yang mati ditembak polis di George Town Isnin lalu.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Mazlan Kesah mengesahkan laporan polis itu dan berkata polis sedang melakukan siasatan.


- Bernama