Pemilihan semula CEC: ROS kata tak perlu sebab
Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertegas bahawa badan tersebut tidak perlu menyatakan sebab atau menyatakan peruntukan undang-undang dalam keputusannya ke atas DAP mengadakan pemilihan baru bagi jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).
Dalam surat yang ditandatangani bagi pihak ROS, pegaswai jabatan tersebut Dasmond Das Michael Das berkata, Akta Pertubuhan 1966 tidak menyatakan bahawa pihak pendaftar perlu menjelaskan tentang keputusan mereka.
Dasmond juga berkata, ROS membuat keputusan berdasarkan kepada peruntukan Akta Pertubuhan dan bukan berdasarkan "paksaan atau dendam".
Katanya, ROS mempunyai banyak peluang untuk berbuat demikian sekiranya perkara itu menjadi alasan.
"Malah, ROS telah mengambil pendekatan kemanusiaan untuk menguruskan krisis ini walaupun kami telah difitnah banyak kali terutama pada pilihan raya umum lepas kerana sebab-sebab politik," kata Dasmond dalam surat yang dikeluarkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 7 Ogos - sehari sebelum sambutan Aidilfitri.
Dasmond berkata demikian dalam jawapannya kepada surat yang diutuskan DAP kepada ROS pada 2 Ogos lalu.
Surat tersebut menggesa supaya ROS menyatakan sebab berhubung keputusan yang dibuat pertubuhan itu dan menyatakan seksyen apa yang telah dilanggar oleh DAP dibawah Akta Pertubuhan.

