Jangan abai belia luar bandar
Kebetulan saya terlibat dalam jentera pilihanraya sebuah parti yang bertanding. Pada hemat saya jentera Barisan Nasional (BN) lebih lemah berbanding dengan jentera PAS.
Petugas-petugas BN lebih mengharapkan bayaran dalam membuat kerja dan tidak ada yang suka membuat kerja secara sukarela dan bekorban untuk parti. Apa yang lebih melemahkan, setiap bilik gerakan akan dibantu oleh badan perhubungan Umno negeri-negeri lain.
Peruntukan untuk kerja-kerja petugas pula tentulah banyak, malah melimpah-limpah, dan perkara ini memang diketahui umum dan saya tahu berapa jumlah yang diperuntukkan oleh BN dalam pilihanraya ini
Jentera BN lemah hanya kerana perkara kecil. Bagi saya bukan wang yang menjadi ukuran tetapi sikap amanah para pemimpinnya yang menyebabkan petugas berasa amat lemah dan hilang semangat.
Berbanding dengan jentera PAS, kita faham mereka pun menggunakan wang dalam menjalankan tugas tetapi apa yang saya perhatikan, kebanyakan mereka ini melakukan tugas dengan sukarela dan komited tanpa berkira.
Apa yang lebih menarik lagi, sokongan golongan muda amat ketara sekali. Saya turut berada di sekitar pusat pengiraan undi bagi Parlimen Pendang. Amat menarik saya melihat begitu ramai pemuda yang menyokong PAS berkumpul sehingga jam 10 malam.
BN harus melihat fenomena ini dengan serius, dan berharap Kementerian Belia dan Sukan yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Hussein, dapat melakukan sesuatu dan memikirkan kenapa pemuda Pendang begitu fanatik menyokong PAS, sepertimana fanatiknya penyokong bola sepak.
Dan saya sarankan supaya lebih banyak program diadakan bagi menarik belia-belia di kawasan terbabit. Jangan hanya asyik menumpukan pembangunan belia di kawasan bandar atau pinggir bandar besar sahaja, dengan membawa aktiviti atau jenis sukan yang begitu asing dengan budaya dan masyarakat luar bandar.

