DUN Rungkup kekal dimenangi BN
Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati peguam individu Chan Kok Keong yang mewakili pempetisyen Misbahul Munir Masduki hanya memfailkan notis penerimaan lantikan di mahkamah semalam.
Ia bertentangan dengan Perintah 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang memerlukan peguam memfailkan notis penerimaan lantikan sebaik sahaja beliau dilantik sedemikian.
Bagi perkara itu, hakim memerintahkan pempetisyen membayar kos masing-masing RM5,000 kepada responden pertama, anggota DUN Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim turut mendapati bahawa walaupun pempetisyen telah melantik peguam individu untuk mewakilinya, namun petisyen yang difailkan pada 13 Jun lepas adalah melalui firma guaman, iaitu Tetuan Chan & Associates.
Sekali gus ia bertentangan dengan Perintah 9 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki nama peguam mewakili pempetisyen perlu disertakan bersama petisyen yang difailkan selain hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen berkenaan dan bukan firma guaman.
Umi Kalthum juga mendapati dokumen petisyen versi bahasa Melayu yang difailkan di mahkamah pada tarikh berkenaan ditandatangani oleh peguam Chan Kok Keong yang disahkan beliau semasa prosiding hari ini.
Hakim menyifatkan perkara itu merupakan satu hal yang sangat serius kerana ia melibatkan kuasa, kerana Misbahul Munir sebagai pempetisyen adalah pihak yang mempunyai kuasa, gagal menandatangani dokumen petisyen berkenaan.
Bagaimanapun dokumen petisyen versi bahasa Inggeris yang tidak difailkan dan digunakan sebagai rujukan pihak pempetisyen serta responden ditandatangani oleh Misbahul Munir selaku pempetisyen.
Umi Kalthum turut mengarahkan pempetisyen membayar kos masing-masing RM30,000 kepada Shahrul Zaman dan SPR.
Sejurus kemudian, Misbahul Munir yang berada di tempat orang awam dalam mahkamah berkenaan bangun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk tidak mengenakan sebarang kos terhadapnya atau mengurangkan nilai kos berkenaan.
Bagaimanapun Umi Kalthum berkata kos telah ditetapkan dengan mengambil kira beberapa aspek dalam setiap undang-undang dan ia tidak terhad kepada yang melibatkan petisyen pilihan raya.
"Petisyen pilihan raya merupakan satu perkara yang serius. Anda berhak ambil tindakan (menerusi undang-undang) namun anda juga perlu menanggung risiko. Ini satu tindakan undang-undang yang berat.
"Saya berpendapat ia adalah kos yang munasabah bagi pihak-pihak responden, selain masa yang diambil oleh pihak yang terlibat, betapa mahalnya tenaga kerja yang perlu," katanya.
- Bernama

