Kerajaan sementara Mesir pada Rabu berkata, mereka akan mengambil langkah yang perlu bagi menangani 'keganasan' daripada bantahan berterusan Ikhwanul Muslimin di Kaherah.

Pihak berkuasa mengisytiharkan tindakan itu sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak lagi boleh diterima, lapor Reuters .

"Kabinet memutuskan akan mengambil langkah yang perlu bagi berdepan dengan risiko ini dan memastikan mereka sampai ke penghujungnya," kata kenyataan yang disiarkan melalui televisyen tempatan.

Menteri dalam negeri juga diarahkan mengambil langkah yang perlu bagi menangani perkara itu berpandukan undang-undang.

Sementara itu, pihak berkuasa juga merujuk pemimpin Ikhwan dan dua pegawai kanan yang terlibat dengan pergerakan itu ke mahkamah atas tuduhan menghasut keganasan.

Langkah terhadap Mohammed Badie, tokoh utama Ikhwan, dan dua lagi itu dilihat bakal menyemarakkan ketegangan antara kumpulan Islamis dan tentera - yang menggulingkan presiden Mohamed Mursi daripada tampuk kekuasaan pada 3 Julai lalu.