Pentas sandiwara Mahathir
Pertama, Dr Mahathir dalam ucapannya, telah menegaskan Umno adalah sama dengan amanu (ertinya orang-orang beriman) dalam al-Quran, lalu beliau membuat kesimpulan bahawa orang Umno adalah orang beriman kerana perkataan Umno dalam tulisan jawi, sama dengan amanu dalam al-Quran.
Perkara ini telah bangkit di Kelantan sejak tahun 1960-an lagi, tetapi dinafikan oleh para pemimpin Umno. Kini Dr Mahathir sendiri telah menyatakannya dan dengan itu benarlah bahawa memang Umno menyamakan kedudukan mereka dengan orang-orang beriman seperti dalam al-Quran.
Kenyataan Dr Mahathir ini sangat penting kerana ia jelas sekali menyelewengkan Islam untuk kepentingan politik.
Kedua, Dr Mahathir telah menyempitkan pilihan orang Melayu dalam memilih pemimpin yang hanya terhad kepada pemimpin Umno saja, tidak boleh jatuh ke tangan orang lain. Inilah faham feudalisme Umno yang cuba dijadikan budaya politik di Malaysia.
Ketiga, sudah sampai masanya perilaku ekonomi dan politik Dr Mahathir dianalisis dengan mendalam, untuk melihat apakah sumbangan beliau yang sebenarnya. Jika anda membaca sejarah Tanah Melayu sebelum kedatangan Inggeris, anda akan dapati di sepanjang Sungai Perak terdapat tidak kurang 30 tempat mengutip cukai, dipasang oleh anak-anak raja dan pembesar Melayu.
Sekarang pusat kutipan cukai itu menjadi tol, yang harus dilalui oleh pemandu dan dibayar dengan harga mahal untuk memperkaya syarikat-syarikat Umno.
Kini kemegahan Umno untuk dicakapkan kepada orang kampung ialah Putrajaya simbol kegemilangan pembangunan Malaysia. Mungkin anda tidak tahu bahawa Putrajaya adalah milik syarikat swasta, dengan kerajaan Umno membayar sewa yang mahal untuk menduduki tempat itu.
Lihatlah juga usaha menghapuskan segala kesan jasa Tunku Abdul Rahman Putra, dengan meruntuhkan lapangan terbang Subang, menghapuskan dua stadium bersejarah, dengan menggantikannya dengan stadium di Bukit Jalil.

