Bulan Jun bulan yang paling berharga bagi peminat bola sepak negara dan dunia. Aksi yang hanya boleh disaksikan empat tahun sekali ini berkumandang di dalam televisyen dan bagi mereka yang mampu boleh terbang ke sana untuk melihat sendiri acara gemilang dunia ini.

Dalam pertandingan kali ini Asia sekali lagi menerima penghormatan apabila negara Jepun dan Korea Selatan di berikan penghormatan untuk menganjurkan pertandingan ini. Malah kebangkitan pasukan bolasepak Jepun dan Korea Selatan sangat membanggakan.

Tetapi apa yang mendukacitakan ialah bilakah pasukan negara kita akan dapat beraksi dalam pertandingan dunia ini? Sepatutnya kedudukan pasukan bola sepak Malaysia mampu bertanding di peringkat antarabangsa termasuk dalam Piala Dunia.

Di manakah kesilapannya? Kenapa pasukan bola sepak Malaysia sampai ke hari ini masih tidak berdaya untuk beraksi dalam pertandingan Piala Dunia?

Kegagalan pasukan negara melayakkan diri ke piala dunia perlu direnungi dan langkah-langkah diambil untuk memajukan pasukan bola sepak negara.

Kerajaan haruslah menubuhkan, institut/Universiti Sukan untuk melatih generasi muda bagi menyediakan mereka sebagai ahli sukan yang bertaraf dunia. Malah mentaliti para ahli sukan termasuk pasukan bola sepak negara haruslah diubah.

Harapan saya adalah melihat sekurang-kurangnya sekali sebelum mata saya tutup selama-lamanya, pasukan bola sepak negara beraksi dalam Piala Dunia.