Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) William Burns, pegawai kanan pertama negara itu yang melawat Mesir selepas penggulingan presidennya akan mengadakan perbincangan peringkat tertinggi pada Isnin di Kaherah.

Pada mana yang sama, ribuan penyokong bekas presiden Mohamed Mursi terus membanjiri jalan raya untuk melepaskan perasaan marah mereka, lapor Reuters.

Rakyat Mesir dikejutkan dengan tunjuk perasaan yang menyebabkan keganasan, dengan 92 nyawa terkorban.

Bagaimanapun, walaupun terdapat perbezaan ketara antara kumpulan pro dan anti-Mursi, tetapi kali ini kedua-dua pihak bersatu ekoran syak wasangka mereka dengan motif Washington kali ini.

Burns bakal menghadapi persoalan janggal apabila melawat Kaherah, yang mana potret duta negara Uncle Sam itu Anne Patterson diconteng dengan tulisan: "Balik rumahlah, perempuan sihir'.

Lawatan Burns akan melibatkan perbincangan dengan tentera dan ketika perdana menteri sementara Mesir memuktamadkan senarai kabinetnya.

Perdana menteri baru itu diberi tugas menyempurnakan rancangan yang disokong tentera untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh enam bukan dan kembali kepada pentadbiran awam.

Serangan di bandar sempadan Israel

Tentera menggulingkan Mursi pada 3 Julai selepas jutaan turun ke jalan raya menuntut pengundurannya.

Langkah itu menyemarakkan kemarahan penyokong tokoh Ikhwanul Muslimin itu, yang juga pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi.

Pertembungan dengan penyokong anti-Mursi kemudian menyebabkan 35 terkorban pada insiden 5 Julai.

Minggu lalu, 53 penyokong Mursi dibunuh oleh tentera di perkarangan berek tentera elit Pengawal Republik yang dianggap "pembunuhan beramai-ramai" oleh Ihkwan.

Tentera pula menyalahkan serangan permulaan terhadap tenteranya sebagai punca.

Empat tentera turut terkorban dalam insiden itu. Ekoran itu, Ikhawan menggerakkan puluhan ribu penunjuk perasaan, yang kemudiannya ternyata berlangsung aman,

Militan Islam di Mesir di kawasan tanpa undang-undang di Utara Sinai, sempadan Israel dan Genting Gaza, menyeru rakyat untuk bangun menentang pihak tentera. Beberapa siri serangan didakwa dilakukan.

Dalam perkembangan terkini, suspek pengganas itu melepaskan grenad dengan pelancar roket terhadap bas pekerja dari bandar El Arish di Sinai, yang meragut tiga nyawa dan kecederaan kepada 17 lagi, menurut sumber perubatan.