Hishamuddin Rais, semenjak menjejakkan kaki semula ke tanahair beberapa tahun lalu, mula menjadi perhatian aku.

Sebagaimana kata saudara mara aku, sekembali Hishamuddin ke tanahair, komen awalnya adalah, Malaysia negara maju yang haru-biru, pembangunan itu bukan bererti banyaknya bangunan tinggi dan beliau berjalan dengan berkaki ayam di pekan Kuala Klawang.

Aku mula tertarik, ada sesuatu yang istimewa pada manusia ini.

Kira-kira 20 tahun di perantauan, hidup berpindah-randah tanpa kaum keluarga, saudara mara, handai taulan. Berhijrah dari satu negara ke satu negara - dari benua terbesar Asia ke Timur Tengah ke Eropah. Dari negara jajahan demokrasi hingga ke negara kuku besi. Dari negara republik, feudal hinggalah bersistem komunis, bahkan bagai hampir ke serata pelusuk dunia. Apa yang beliau cari?

Kira-kira 20 tahun dulu aku pernah bertanya dengan arwah abah apabila sekali-sekala berita tentang Hishamuddin keluar di akhbar dan menjadi topik perbualan saudara mara aku, siapa abang Hisham itu? "Penentang kerajaan," ringkas, jawab arwah abah!

Dan aku pun tidak banyak soal. Maklumlah ketika itu abah orang kuat Umno Jelebu (Negeri Sembilan). Malah boleh dikatakan semua sanak saudara aku berdarah Umno, hardcore. Pak Ngah Nudin (Datuk Aminuddin Abdul Manaf) tentu ketawa jika terbaca tulisan ini!

Tetapi itu senario dahulu kala. Untuk bercerita sejarah Umno dalam keluarga aku, masanya terlalu panjang. Aku lebih suka berkongsi cerita berkenaan icon aku, Hishamuddin Rais.

Pada malam 18 April baru-baru ini, aku dapat saksikan Pak Andak (bapa Hishamuddin), Pakcik Amjal, dan Pak Teh Ramli duduk sebaris di atas pentas bersama para tetamu lain anggota-anggota keluarga tahanan mangsa akta zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka adalah sebahagian daripada keluarga Hishamuddin yang turut bersimpati. Sayu juga apabila mendengar rintihan anak sulung Mohamad Ezam Mohd Nor membaca surat untuk Ketua Polis Negara, Norian Mai. Dan nama Hishamuddin juga sebaris dengan rakan-rakannya yang ditahan itu. Aku bangga dengannya! Inilah semangat juang yang tidak akan terhapus dan Hishamuddin terus kekal menentang kerajaan!

Tetamu insan seni

Ya, ramai yang tidak mengenali Hishamuddin, mungkin juga di kalangan keluarga aku sendiri. Aku mula mendekatinya melalui tulisan dalam majalah Fantasi. Bercerita tentang pengalaman berkelana di tempat orang, lorong-lorong gelap di Palestin. Karyanya dilihat bersifat terbuka.

Adakalanya sewaktu perjumpaan keluarga besar aku, Hishamuddin diaju tentang soal-soal politik dan prinsipnya oleh sanak saudara, jawapannya agak kurang memberangsangkan, hanya tersenyum dan seolah-olah tidak berminat. Lebih banyak berdiam diri. Sentiasa bertopi, bermisai dan berjanggut. Imejnya dengan rokok 'Gudang Garam', berkot dan tidak tahu memandu!

Kali terakhir aku melihatnya, ketika menghadiri perhimpunan aman di depan balai polis Jalan Dang Wangi. "Hati-hati," itulah ayat yang sering aku dengar apabila terserempak dengannya setiap kali diadakan perhimpunan reformasi. Tintanya sebelum ini tersiar saban minggu dalam Berita Minggu. Berkisar tentang industri perfileman. Sentiasa kritis, apa saja, beliau terus menyuarakan pendapat mengikut acuan pengalamannya.

Beliau pernah juga dijemput sebagai tetamu insan seni di majlis forum, seminar berkaitan industri seni di Malaysia. Di kalangan artis, kebanyakannya aku percaya tidak pernah atau jarang sekali membaca kolumnya. Sebab tiada warna-warni dan tiada glamour.

Filemnya Dari Jemapoh ke Manchestee masih belum masuk panggung di negara ini biar telah dimainkan di Singapura dan festival filem Cannes, Perancis. Lalu keprihatinan beliau pada industri seni acuan Malaysia seolah-olah dipinggirkan, apatah lagi beliau secara terang-terangan terjun meredah gelombang perjuangan keadilan dan menuntut yang hak.

Pengalamannya meninggalkan Malaysia, sewaktu teman-teman lain berdepan dengan segala kemungkinan, mengundang pelbagai tafsiran. Imbasan bersama Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim mengepalai mahasiswa berdemonstrasi menentang kerajaan (1970-an), membela nasib petani, kemudiannya menjadi buruan pihak berkuasa, dan terus hilang entah ke mana bagaikan seorang pengecut.

Andainya (mungkin) ditakdirkan sejarah tidak seperti itu, Hishamuddin sudah menjadi seorang anggota kabinet Mahathir Mohamad, atau lebih jauh hebatnya daripada Ibrahim Ali. Setidak-tidaknya beliau memimpin Jelebu yang ketandusan kepimpinan, selain Rais Yatim.

Apabila hasratnya untuk pulang ke tanahair menjadi kenyataan (setelah sekian lama dinafikan), ditambah pula waktu itu ibunya sakit kuat, beliau tentunya amat dirindui keluarga dan sanak saudara. Maka kepulangannya amat dinantikan. Tapi tiada siapa menjangka wataknya kali ini amat berbeza seperti yang dijangkakan.

'Super Seven'

Hishamuddin yang dahulu dan Hishamuddin yang baru pulang ini jauh berbeza pembawaannya. Apa yang dapat kurasakan, ramai juga saudara mara mencemuh gaya beliau. Sosialis, begitulah. Namun bagi aku, manusia ini punyai keistimewaan.

Sambil merintangi halangan, beliau terus berkarya. Bersama kartunis Zunar, Hishamuddin memimpin persembahan teater Tok Ampoo dan berjaya dipentaskan di beberapa tempat. Agak terhad dan terbatas permitnya. Aku tidak pernah sempat menonton lakonan itu secara langsung tetapi turut terhibur menontonnya melalui rakaman video cakera padat (VCD).

Memang gahnya Istana Budaya (dulu, Panggung Negara) di Jalan Tun Razak itu akan bertambah megah jika Tok Ampoo dipentaskan di situ. Tapi aku berani bertaruh kerat jari kelingking, rasanya teater itu diharamkan menjejakkan kakinya. Kebanyakan artis Malaysia menilai seni itu sekadar komersial tanpa aspek kesenian yang jujur.

Kini beliau bersama enam yang lain (sebelum Dr Badrul Amin Baharom dan Lokman Noor Adam ditangkap - editor), 'Super Seven', gelaran Zunar (dalam akhbar Operasi), masih terkurung dalam penjara ISA, entah di mana.

Mereka dituduh cuba menghuru-harakan Kuala Lumpur ketika perhimpunan aman 'Black 14' (atau 14 April lalu). Mereka kononnya bermotif jahat ingin menggulingkan kerajaan BN dengan kekerasan, ada pelancar bom, molotov koktel dan pelbagai senjata berbahaya. Lucunya!

Secara peribadi, boleh dikatakan tuduhan ini tidak masuk akal, pelik bin ajaib. Apa yang pasti setiap ruangan Hishamuddin sebagai penulis tamu malaysiakini sangat memberansangkan dan terkedepan. Sentiasa kritis, pengalaman 20 tahun di banyak negara, mempelajari berbagai-bagai ragam sosial, politik dan ekonomi.

Mungkin kegemarannya membaca, kerana itu tulisannya berfakta, menarik dan ada kalanya lucu tapi bernas. Bebas. Setiap teguran, sindiran sinis, tajam dan jarang tersasar. Beliau terus menjadi penulis bebas. Memberikan pandangan terbaik untuk pentadbiran negara Malaysia mengikut adunan daripada beberapa tempat dunia yang sempat beliau singgah.

Barangkali inilah yang ditakuti kerajaan Dr Mahathir. Sesungguhnya papan kekunci komputer itu lebih tajam daripada mata pedang. Bagai pelancar roket umpamanya!

Sesiapa pun tidak mengetahui bila beliau dan rakan-rakannya yang lain akan dibebaskan, dan aku penggemarnya sentiasa merindui tulisan-tulisannya.

Hishamuddin Rais adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (individu bukan penyokong kerajaan). Bebaskan mereka dan hapuskan akta zalim ISA.


SAFUAN ARSHAD adalah antara ribuan peminat tulisan Hishamuddin Rais, termasuk kolumnya 'Dotmai' di malaysiakini. Penulis itu kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hilang tanpa sebarang khabar sejak 10 April.

Rencana-rencana berkaitan