Lawatan PM ke AS cuba halalkan ISA
Dalam sidang akhbar bersama Bush/Mahathir di Washington, Bush ditanya wartawan berkenaan pendirian Amerika Syarikat tentang isu Anwar Ibrahim yang dipenjarakan oleh regim Mahthir. Tanpa berselindung Bush menegaskan pendirian bahawa Anwar ialah tahanan politik. Jawapan Bush itu tegas dan dibuat didepan Mahathir, membuat PM kelu dan tertunduk malu. Pendirian Bush sejajar dengan laporan Amnesty International bahawa Anwar tidak dapat pengadilan yang sewajarnya.
Tidak ada transkrip atau berita seperti ini dikeluarkan oleh media arus perdana yang seolah-olah mahu menyorokkan perkara yang memalukan Mahathir. Ini jelas cuba dilindung oleh penulis dalam mengulas isu kejayaan lawatan PM. Sebaliknya hanya mengemukakan perihal biasa yang setiap hari dilaungkan oleh media arus perdana yang jadi burung belatuk saja.
Sejak kejadian 11 September, Amerika Syarikat banyak melaungkan isu pengganas. Mahathir menggunakan isu ini menangkap orang-orang yang tidak menyokong beliau terutama pembangkang dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa perbicaraan. Orang yang ditangkap terus ditahan tanpa pembelaan. Tiada bukti pun tidak apa; hanya labelkan sahaja mereka ini anggota pengganas, habis perkara. Halalkan mereka dipenjarakan. Itulah kezaliman yang nyata. Apa yang nyata, biar Amerika Syarikat puas hati negara ini tangkap 'pengganas'.
Pemergian ke sana hanya mahu Amerika Syarikat kata OK kepada akta ISA yang zalim ini. Mungkin apa yang Mahathir ingini telah tercapai apabila Bush memuji penangkapan 'penganas-penganas' tersebut.
Namun yang nyata rakyat Malaysia keseluruhannya yang rugi. ISA boleh digunakan untuk menangkap sesiapa saja tanpa bukti. Yang merisaukan ialah apabila ISA boleh disalahgunakan dengan senang kerana tiada checks and balance. Tiada sesiapa yang boleh mempertahankan diri daripada akta ini kerana tiada bukti diperlukan. Hanya penjara menunggu.

