Asas kepada pemilihan pelajar ke institusi pengajian awam perlu disandarkan kecemerlangan serta latarbelakang pelajar yang terbabit dalam pengambilan masuk ke universiti. Di samping kecemerlangan akademik faktor-faktor asas seperti taraf hidup serta keadaan asal pelajar perlu diambil kira.

Di sini pertimbangan komposisi kaum atau sistem kuota juga menjadi pertimbangan. Adalah tidak adil jika faktor merit akademik diambil kira secara mutlak jika latarbelakang pelajar serta kekurangan pelajar dari segi faktor kewangan, kehidupan luar bandar serta kekangan hidup seperti yang dialami oleh sebilangan besar pelajar.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ingin melihat seluruh rakyat Malaysia dapat memiliki upaya taraf kehidupan sosial dan ekonomi yang sama tanpa mengira agama dan bangsa. Oleh itu menjadi keperluan untuk mengambil kira peluang yang perlu diberikan kepada golongan yang masih lagi ketinggalan terutama dari sudut pencapaian pendidikan, taraf hidup dan ekonomi.

Dalam soal ini pendidikan tinggi memainkan peranan penting untuk mengelakkan berlakunya "kecemburuan sosial" akibat keseimbangan taraf hidup terutama daripada pencapaian pendidikan dan ekonomi. Persoalan kuota dan merit memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan bersama yang telah diputuskan bersama oleh pemimpin politik di awal zaman kemerdekaan dahulu. Tanpa menafikan faktor merit atau kecemerlangan pelajar faktor-faktor demografi serta sosial perlu menjadi asas kepada isu pemilihan pelajar ke universiti awam.

Kejayaan sistem kuota dan meritokrasi juga bergantung kepada toleransi dan budi bicara insan yang disandarkan kepada hati yang ikhlas dan pertimbangan yang jernih. Setiap insan pasti memiliki kekurangan yang boleh disifatkan menjurus kepada kegagalan mencapai matlamat yang ingin dicapai, baik diletakkan oleh diri sendiri, masyarakat ataupun sesebuah organisasi. Oleh itu penilaian yang menyeluruh mengambil kira pelbagai faktor kegagalan dan kecemerlangan amat penting untuk memastikan kita berlaku adil kepada seluruh pihak terutama sekali bagi pelajar yang memiliki banyak kekurangan.

Bukan semua pelajar memilih untuk gagal walaupun ada yang sengaja meletakkan diri dalam suasana untuk gagal walau diberi segala kemudahan. Keadaan sebegini perlu diberi pertimbangan yang pastinya akan bakal menjana merit atau tindakan yang bersesuaian dengan apa yang berlaku.

Namun begitu persediaan serta keupayaan sebenar setiap pelajar harus dipertingkatkan untuk menghadapi cabaran semasa yang berlaku. Sikap bergantung kepada unsur-unsur kuota perlu dikikis Persediaan asas-asas seperti kecemerlangan pelajar yang disadurkan dengan penerimaan meritokrasi sebagai satu nilai perlu bagi menjadi teras kepada pemerkasaan jiwa bangsa pada masa-masa akan datang.

Dasar keperluan iaitu keperluan asasi (seperti pendidikan sama antara luar bandar dan di bandar) sebelum dibudayakan sistem merit secara menyeluruh juga memainkan peranan yang penting supaya bakal mahasiswa yang terlibat dengan sistem meritokrasi ini mendapat kemampuan yang sama untuk dinilai dengan pelajar-pelajar yang lain.

Tumpuan pendidikan yang memberatkan unsur-unsur fundamental kekuatan diri pula akan membentuk jiwa yang kreatif dan dinamik mendepani faktor luar yang juga sifatnya dinamik dan sentiasa mengalami perubahan. Jiwa generasi baru yang ingin kita perkasakan bukan sekadar menghayati dinamika meritokrasi yang kita kenali ini, malah jiwa bangsa yang bersumberkan kekuatan nilai dan cara hidup beragama yang lahir dari pemurnian bahasa, ilmu, dan budaya yang mencerminkan diri kita dan wibawa sebagai generasi yang berdayasaing.

Oleh harapan untuk meneruskan iltizam memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak mendapat peluang dan ruang belajar dengan baik begitu penting. Penempatan pelajar berdasarkan latarbelakang dan taraf sosio ekonomi yang masih lagi mencengkam kehidupan masyarakat Malaysia wajar diberi perhatian.