Komen Aziz Sheikh Fadzir (naib ketua pemuda Umno Malaysia) dan Kamaruddin Mohd Noor (ketua Umno Pasir Putih, Kelantan) berhubung kenyataan Anwar Ibrahim yang didakwa berkemungkinan boleh berbaik semula dengan Mahathir Mohamad, agak jauh daripada isu sebenar yang melanda negara dewasa ini.

Aziz menuntut Anwar perlu ikhlas dengan kenyataannya dan Aziz juga mempunyai harapan besar untuk menyelesaikan satu masalah besar dewasa ini. Aziz nampaknya hanya mahukan Anwar sahaja yang perlu ikhlas.

Bagaimana pula dengan pucuk kepimpinan sekarang? Bagaimana pula dengan Dr Mahathir Mohamad sendiri, orang yang memulakan segala-galanya di negara ini.

Aziz juga mengakui secara tidak langsung bahawa isu Anwar adalah isu besar, atau sekurang-kurangnya Aziz menerima hakikat bahawa Anwar di luar Umno adalah satu masalah besar.

Kamaruddin Md Noor pula, yang ternyata amat mengharap Anwar kembali ke pangkuan Umno atau sekurang-kurang nya kembali bersama pucuk kepimpinan sekarang, mendakwa ia akan menyelesaikan isu perpaduan ummah di negara ini.

Beliau juga masih menganggap Anwar sebagai kawan walaupun hanya masa Anwar berkuasa. Itulah politik ajaran Umno sebenarnya.

Mereka lupa atau memang tidak mahu ingat bahawa isunya sekarang bukan Anwar kembali bersama Mahathir atau isu perpaduan dalam Umno ataupun ummah mengikut pengertian Umno, tetapi antara isu sebenarnya ialah dakwaan penyalahgunaan kuasa, isu rasuah dan bermacam ragam pemimpin yang bercanggah dengan budaya dan cara hidup rakyat negara ini.

Itulah masalah sebenarnya. Itulah yang mesti ditangani dan diambilkira. Anwar boleh kembali kepangkuan Umno atau kepangkuan kepimpinan Mahathir, tetapi apakah masalah di atas akan dapat diselesaikan?

Apakah akan selesai masalah keganasan polis jika Anwar kembali berbaik semula dengan Mahathir? Adakah akan selesai masalah rasuah jika Anwar kembali bersama pucuk pimpinan negara atau adakah isu-isu yang selama ini menjadi pertikaian?

Soal terbesar sekarang bukan sahaja soal Anwar berbaik dengan Mahathir. Bagaimana pula dengan untung-rugi manusia yang teraniaya bersama Anwar. Adakah ini akan selesai dengan hanya kesanggupan Anwar untuk berbaik semula dengan Mahathir.

Ini bukan soal perpaduan ummah tafsiran Umno atau perpaduan untuk kepentingan kemenangan pilihanraya. Ini bukan soal 'survival' Anwar atau Mahathir. Semua ini dan selama ini, ianya melibatkan `survival' rakyat negara ini.