Apakah pilihan Azalina?
Saya berpendapat, politik baru Keadilan berhasrat agar layanan yang serupa diberikan terhadap setiap rakyat di Malaysia dalam pelbagai isu. Ia menjadi syarat utama dalam mewujudkan keadilan dalam masyarakat.
Dasar sedemikian telah konsisten dengan pergerakan politik Keadilan sejak parti itu ditubuhkan, walaupun masih banyak ruang yang perlu diperbaik, ke arah mencapai kesempurnaannya.
Apa yang penting ialah rakyat berasa selamat dengan dasar sedemikian yang menjamin maruah, harga diri dan hak setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik individu. Bahkan politik baru ini memberikan layanan serupa kepada lawan dan kawan.
Sebenarnya, itulah anjakan paradigma yang dihasratkan. Dalam menangani isu para pemimpin yang terbukti berkelakuan di luar batasan nilai tatasusila masyarakat, maka wajarlah dinasihati untuk bertaubat dan melepaskan jawatannya, bagi mengelak berlakunya serangan peribadi secara terbuka.
Ini kerana setiap tuduhan sedemikian serius memberi kesan yang hebat terhadap kehidupan seseorang. Kita tidak ingin budaya fitnah-memfitnah berleluasa, sehingga merosakkan kehidupan seseorang pada masakini dan keturunannya hingga ke akhir zaman.
Jika tuduhan terbuka itu tidak benar, maka ia meninggalkan kesan serius terhadap tertuduh, dan siapakah yang dapat menjamin bahawa kehidupannya akan pulih seperti sediakala?
Nilai yang diajukan oleh Puan Fuziah Salleh, Ketua Wanita Keadilan, tepat dengan naluri manusia dan tatasusila masyarakat yang beragama, supaya berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan salahlaku seks terhadap seseorang, demi menjaga kesejahteraan masyarakat.
Kadangkalanya tidak semestinya orang yang meletakkan jawatannya setelah pendedahan salahlaku seks, adalah bersalah. Kemungkinan individu berkenaan tidak tahan tekanan ke atasnya, lalu dia mengalah dan mengundur diri. Ternyata ia suatu ketidakadilan. Dan budaya politik baru, menghendaki kesilapan sedemikian dijauhi.
Kemungkinan seseorang itu berdiam diri kerana merasa tidak perlu menjawab tuduhan murahan dalam akhbar dan menunggu disaman dimahkamah.
Maka dalam kes Azalina, apakah pilihannya? Adakah keadilan dapat dijamin di pihaknya dengan menyaman Perdana Sari?

