Saya merujuk laporan Pemuda Umno dakwa mogok lapar ISA haram di sisi Islam (17 April). Amat mendukacitakan apabila seorang yang bergelar ustaz iaitu Ustaz Shamsul Najmi Samsuddin (Ketua Sekretariat Tetap Agama Pergerakan Pemuda Umno) menyatakan mogok tersebut sia-sia malah haram di sisi Islam.

Wahai Ustaz Shamsul yang berilmu lagi bijak bistari, ingin pula saya bertanya apakah sah di sisi Islam perbuatan menangkap, menghukum dan memenjarakan hamba-hambaNya tanpa diberi peluang untuk mereka membela diri? Sedangkan Allah sendiri akan membicarakan hamba-hambaNya di Mahsyar sebelum diberi balasan, inikan pula kita manusia biasa? Kitab Allah yang mana satukah yang Ustaz Shamsul rujuk? Mazhab Islam yang mana pula yang Ustaz turuti?

Sebenarnya perbuatan 'mogok lapar haram' ini mudah untuk dihalang. Caranya:

Hapuskan perkara 'haram' yang paling pokok dalam permasalahan ini iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bebaskan atau bicarakan semua tahanan-tahanan ISA dengan seadil-adilnya. Sekiranya benar-benar dapat dibuktikan mereka bersalah, bukan sahaja ahli-ahli Umno malah seluruh rakyat Malaysia akan merestui apa-apa hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Tanpa memanjangkan surat ini, inginlah saya menyarankan agar Ustaz Shamsul meletakkan diri beliau di dalam situasi Mohd Ezam Mohd Nor, Dr Badrulamin Bahron, Tian Chua dan rakan-rakan mereka. Memang senang menghukum dari atas sofa empuk di bilik berhawa dingin lagi canggih seperti di Putrajaya. Tetapi bagaimana kalau musibah yang sama menimpa Ustaz atau keluarga?

Sekali lagi, kita lihat kalangan ahli-ahli Umno dan BN yang sanggup bersetongkol dan mempertahankan perbuatan menganiaya, menghina malah mengaibkan orang yang dahulunya rakan, demi kepentingan pangkat serta kedudukan yang mereka kecapi!