Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan waran tangkap dikeluarkan kepada seorang sosial aktivis dan kolumnis malaysiakini Hishamuddin Mohd Rais kerana tidak hadir dalam sebutan kesnya hari ini. Beliau dikehendaki hadir ke mahkamah bagi sebutan kes perhimpunan haram di Masjid Negara sempena demonstrasi akhbar Harakah 11 Mac lalu.

"Saya terlewat kerana terdapat halangan di jalan raya (kerja baik-pulih di Brickfield) dan sampai di mahkamah pada 10 pagi ini. Peguam yang mewakili saya, Tuan Haji Sulaiman Abdullah telah memberitahu pihak mahkamah tetapi mereka tidak dapat menerima alasan tersebut," ulas Hishamuddin kepada malaysiakini.

Bagaimanapun, perintah itu ditarik semula apabila Hishamuddin melaporkan diri kepada Majistret Norshila Kamarudin lewat pagi ini.

Sebutan kes tersebut ditangguh kepada 7 Jun kerana peguam hak asasi manusia, Sivarasa Rasiah tidak dapat menghadirkan diri. Beliau yang turut didakwa menyertai perhimpunan haram itu kini berada di Sydney, Australia bagi menjalani rawatan kesihatan.

Malaysiakini pernah melaporkan perhimpunan yang menggunakan slogan 'Bebaskan Suara Rakyat' itu dikatakan bertujuan mempertahankan kebebasan bersuara di negara ini selepas tabloid PAS itu tidak dibenarkan terbit dua kali seminggu seperti sebelum ini.

Mahkamah mendakwa 9 aktivis lain dalam demo tunjuk perasaan yang berjaya mengumpulkan lebih 100 penyokong kebebasan bersuara itu antaranya, Naib Presiden KeADILan, Tian Chua, kartunis Harakah, Zunar, bekas aktivis PAS, Abd Malek Hussin dan enam lagi penyokong setia gerakan reformasi, termasuklah seorang wanita Nor Azimah Mohd Nor ("[#1]10 lagi dicari polis, jangan takut ugutan kerajaan: Mahfuz[/#]", 15 Mac).

Sementara itu, lidah rasmi PAS itu, telah menfailkan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi, kerana menghalang penerbitan akhbar itu daripada lapan kali kepada hanya dua kali sebulan.

Pengarah Urusannya, Datuk Hishamudin Yahya telah menfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi pertengahan bulan lalu dan kini menunggu keputusan mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan.