Satu isu terkini ialah desakan supaya setiausaha agung NUTP (Kesatuan Kebangsaan Perkhidmatan Perguruan), Datuk N Siva Subramaniam melepaskan jawatan ekoran daripada laporan jawatankuasa khas penyiasat pengasingan di sekolah, yang mengatakan tidak ada bukti kukuh bahawa dakwaan kesatuan tersebut mengenai pengasingan pelajar adalah benar.

Dalam keghairahan membuat desakan, terserlah akan kelemahan dan betapa tidak profesionalnya kaum guru di negara ini. Desakan demi desakan ditujukan kepada Siva yang memegang jawatan setiausaha agung NUTP dan juga presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam), seolah-olah Siva seorang 'penjenayah' yang tidak ada jasa baktinya kepada kakitangan awam khususnya kepada para guru. Maka akan bertambah hilanglah minat generasi muda untuk menjawat pekerjaan yang sememangnya kini berada di tata tingkat paling rendah dalam konteks perjawatan di negara ini.

Sehari selepas laporan jawatankuasa penyiasat diumumkan, terpampang di akhbar beberapa tokoh kesatuan (termasuk ahli politik) yang mendesak supaya Siva memohon maaf. Beberapa hari kemudian, didesak pula supaya beliau meletak jawatan. Dan yang terkini adalah adanya pihak yang membuat laporan polis dengan harapan Siva didakwa dibawah akta hasutan.

Jika diteliti, antara wajah-wajah tokoh kesatuan yang begitu beriya-iya melenting itu, apakah sumbangan besar mereka kepada kakitangan awam termasuk guru? Merekakah yang bertungkus-lumus menyediakan kertas cadangan untuk kebajikan kaum guru dan kemudiannya berjumpa YAB perdana beberapa kali? Merekakah yang berkejar ke sana ke mari untuk memberi penerangan kepada kaum guru akan kedudukan gaji mereka? Yang pasti tokoh-tokoh ini turut sama menikmati hasil 'perjuangan' Siva. Mungkin pada mereka inilah peluangnya untuk mereka menonjolkan diri kepada umum.

Dalam kes ini, tidak terfikirkah mereka bahawa dakwaan itu bukan dibuat oleh Siva seorang? Semua ahli jawatankuasa telah berbincang terlebih dahulu. Amat tidak adil Siva seorang sahaja yang 'dibelasah'.

Mungkin dakwaan NUTP itu ternampak agak keterlaluan dan cenderung ke arah mencetuskan perasaan perkauman. Kebanyakan pihak yang melenting menentang NUTP datangnya dari satu kaum sahaja. Mengapakah terlalu emosional sekali? Terimalah hakikat bahawa kita hidup di negara majmuk yang cukup aman. Jika dilihat dakwaan NUTP itu keterlaluan, eloklah kita tangani dengan penuh profesional dan menerimanya secara positif. Saya percaya pihak pimpinan kesatuan itu boleh menerima teguran dan nasihat.

Seperkara lagi, jika kita katakan bahawa semua guru mendesak Siva meletakkan jawatannya, saya kira kenyataan itu salah. Malah, ramai yang menyokong Siva, bukan kerana dakwaannya tetapi kerana simpati akibat terlalu 'dibelasah' oleh tokoh-tokoh yang hampir semuanya lepasan universiti yang bergelar "Dr", berbanding dengan Siva yang hanya seorang bekas guru besar sekolah rendah sahaja.

Tulisan ini bukanlah untuk mencetuskan suasana yang lebih gawat dan bukanlah untuk membuat sebaran tuduhan tidak elok kepada sesiapa. Ia sebagai pendapat dan nasihat daripada seorang yang kesal profesion yang ketika dulu amat mulia sekarang diperlekehkan.