Berbeza dengan PAS dan PRM yang masih terus memperjuangkan isu ISA dan kezaliman terhadap Anwar Ibrahim di kemuncak permulaan reformasi negara tak lama dulu, DAP bukan saja sudah melupakan Anwar Ibrahim malah kini seolah-olah menjadi penentang gerakan reformasi. Seperti kata salah seorang pembaca malaysiakini, DAP kini lebih BN dari BN.

Tidak dapat dinafikan, sebelum dan semasa gerakan reformasi bermula, 'Politik Pro-Islam' mendapat perhatian pelbagai kaum di negara ini terutamanya majoriti rakyat yang berketurunan Melayu.

Memandangkan susah benar untuk memikat hati kaum majoriti ini, maka DAP nampak satu peluang terbaik untuk tujuan tersebut, lantas mereka menyertai Barisan Alternatif.

Sungguh ajaib, pada ketika tangan dihulur bergandingan bahu, DAP tidak memikirkan langsung idea 'Negara Islam' dari PAS walaupun perkara tersebut sudah termaktub di dalam perlembagaan PAS sejak dulu, kini dan mungkin buat selamanya.

Selepas tragedi 11 Sep di Amerika Syarikat, bukan sahaja Bush yang tidak senang duduk malah lebih kronik lagi DAP menjadi tak tentu hala! Mereka semakin menjarakkan diri dari rakan-rakan yang pro-Islam. Kenapa?

Adakah DAP menganggap setiap penganut Islam bersalah dalam tragedi tersebut? Apakah DAP mahu beralih angin kerana imej Islam telah dan sedang dibelasah teruk oleh Amerika dan kuncu- kuncunya?

Inilah dia wajah sebenar DAP. Parti oportunis yang baik terhadap rakannya ketika rakannya memberi faedah kepadanya. Apabila rakannya menghadapi saat-saat getir, mereka akan meninggalkan rakan tersebut.

Tak cukup dengan itu, mereka seiring senada dengan musuh untuk memperlekeh dan mengutuk rakan tersebut. Pilihanraya Indera Kayangan membuka pekung DAP yang selama ini terperap sekian lama.

Nasihat saya, cermin-cerminlah diri wahai DAP. Jika tidak kerana BA, jangan mimpilah Melayu akan mengundi DAP. Mungkin ada pihak yang akan menafikannya, tapi yakinlah, inilah dia hakikat politik tanahair tercinta.