Kesilapan besar parti pembangkang di Malaysia ialah menaruh kepercayaan bahawa demokrasi akan tercapai melalui peti undi. Sampai kepada satu peringkat di mana beberapa tahun yang lalu, pernah diamanatkan oleh pimpinan parti Islam terbesar di negara ini bahawa memangkah kertas undi, sama nilai pahalanya dengan berjihad turun ke medan perang.

Manakala sebahagian besar penyokong sebuah parti reformasi separuh masak pula percaya, hanya ketika pilihanraya sahaja mereka akan bersemangat dan berhasrat menjatuhkan parti pemerintah.

Dalam mengamalkan demokrasi, kerja menjatuhkan parti yang memerintah bukanlah menjadi kesalahan, malahan menjadi satu keperluan bagi memastikan demokrasi berjalan dengan sempurna.

Malangnya, rakyat negara ini telah dengan sengaja dipusingkan kefahaman mereka. Pemerintah telah berjaya menanamkan kepada kita bahawa menjadi kesalahan jenayah jika kita bercita-cita menjatuhkan parti memerintah. Selain tujuh dosa besar yang dipercayai oleh orang Islam, rakyat Malaysia tanpa disedari, meletakkan kepercayaan bahawa menggulingkan pemerintah adalah dosa besar yang kelapan.

Kalangan ahli parti pembangkang sendiri sebenarnya tahu bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah organisasi suruhan parti pemerintah dalam mengendalikan proses pilihanraya. Malahan, hampir semua rakyat negara ini akan mengakui kehebatan keberpihakan SPR terhadap parti pemerintah sebagaimana yang diakui sendiri oleh Setiausaha SPR.

Selain berfungsi memanipulasi proses pilihanraya, SPR juga berperanan sebagai kambing hitam yang akan dipersalahkan oleh parti pemerintah sendiri. Pernyataan rasa kesal Perdana Menteri terhadap kegagalan SPR, dapatlah dilihat sebagai usaha untuk meredakan perasaan curiga rakyat terhadap ketelusan badan tersebut. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) nampaknya cuba bermain silap mata untuk mengilusi mata rakyat.

Tersalah cetak

Dengan keupayaan dan pengalaman luas mengendalikan pilihanraya sejak merdeka, adalah sukar bagi kita mempercayai setiap kesilapan besar yang dilakukan SPR dalam pilihanraya umum kali ini.

Apa yang sebenarnya yang telah berlaku? Kenapa ramai pengundi di banyak kawasan tidak dapat mengundi? Kenapa ada lambang parti tersalah cetak? Mengapa pegawai pilihanraya boleh menghilangkan diri? Kiraan semula undi pula paling banyak pernah berlaku dalam sejarah.

Peliknya, semua yang berlaku di atas, tidak pernah terjadi sebelum ini, walaupun semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kakitangan SPR sebenarnya mengalami tekanan dan mereka sangat sibuk mengendalikan karenah parti pemerintah yang mahu memastikan kehendak mereka tercapai. Perkara ini memang masuk akal. Kenapa semua perkara tersebut di atas kebanyakannya hanya berlaku di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan bukan di Johor atau Sabah dan Sarawak?

Kenapa pemimpim pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh mampu memenangi kerusi yang mereka tandingi? Kerana pihak lawan memang tidak menyangka mereka akan menang dan kedua-dua pemimpin pembangkang ini tidak menjadi tumpuan usaha megalahkan mereka.

Penyelewengan

Dalam lain perkataan, pemimpin pembangkang yang lain termasuk Wan Azizah Ismail, Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz Nik Mat telah dijadikan tumpuan dan segala usaha telah dijalankan dengan licik dan licin bagi memastikan kekalahan mereka.

Antara perkara yang biasa berlaku ialah memanipulasi undi pos, menghilangkan peti undi, menghilangkan nama pengundi daripada daftar pemilih bagi menghalang mereka mengundi.

Kejadian sebegini terdedah kepada umum setelah disurahkan oleh bekas pemimpin Umno yang membentuk Parti Keadilan. Mungkinkah kini sudah ada kaedah baru untuk menyelewengkan proses pengundian yang belum diketahui umum?

Jika rakyat terus gelisah dengan hasil pilihanraya umum kali ini, pasti langkah terakhir yang mampu mereka buat hanyalah mendesak pengerusi dan setiausaha SPR supaya meletakkan jawatan.

Tetapi jika rakyat tidak mudah tertipu dengan sandiwara perletakan jawatan ini, kita wajib meneruskan protes kita sehingga pilihanraya umum dapat diadakan semula setelah SPR sendiri diperbaiki dan dirombak agar dilihat lebih adil dan telus.

Sebaliknya, jika kita semua hanya berdiam saja dan sanggup menunggu untuk ditipu sekali lagi pada tahun 2008 nanti, itu maknanya rakyat Malaysia telah tertipu dan mata kita masih disaliputi ilusi pilihanraya. Janganlah bersedih lagi.


ARIF ABDULL adalah seorang peminat perkembangan politk semasa.