Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, lebih dikenali sebagai Pak Lah, telah berkata bahawa bekas timbalan PM Anwar Ibrahim bukan lagi faktor dalam politik Malaysia.

Kalau benar Anwar bukan faktor, saya cabar Pak Lah untuk lepaskan Anwar dari kurungan di Sungai Buloh hari ini juga. Mengapa Pak Lah perlu khuatir dengan kesannya kepada pilihanraya 21 Mac ini, kerana mengikut logiknya sendiri, Anwar bukan lagi faktor?

Pak Lah tahu Anwar masih lagi faktor. Di sebalik cubaannya untuk memberi imej baru yang bukan lagi terikat dengan kediktatoran Dr Mahathir Mohamad, Pak Lah masih tidak mengakui kerajaan BN telah melanggari pelbagai peruntukan perlembagaan, dan perkiraan kemanusiaan di dalam membunuh Anwar secara politik sejak tahun 1998.

Penafian ini bukan sahaja wujud buat Pak Lah, tetapi juga pimpinan Umno secara umumnya. Pada tahun 1998-99 dahulu, media BN, institusi kehakiman, jentera kerajaan dan seluruh sumber yang ada pada BN telah digunakan sehabis-habisnya untuk mengaibkan saudara Anwar. Cukup menakjubkan bagaimana Anwar dikatakan seorang ejen CIA, peliwat, kaki zina, perasuah dan pesalah guna kuasa.

Tambahan pula, apabila Anwar dihadapkan ke mahkamah, segala prinsip undang-undang dikorbankan, sehingga kes Anwar menarik perhatian ramai tokoh-tokoh guaman yang kecewa dengan salahguna BN terhadap institusi kehakiman.

Nama-nama seperti Karpal Singh, Sulaiman Abdullah, Raja Aziz Addruse dan Zainur Zakaria sanggup membela Anwar Ibrahim kerana mereka yakin, dalam perbicaraan adil yang memenuhi permintaan kehakiman, Anwar akan didapati tidak bersalah. Kita tidak perlu menjadi peguam untuk memahami kelemahan kes pendakwaraya terhadap Anwar.

Mana keadilan?

Pertama sekali pasukan guaman Anwar telah menghancurkan bukti DNA yang diberikan oleh saksi pakar pendakwaraya, Lim Kong Boon. Kemudian pada 12 Januari 1999, pendakwaraya telah melakukan sesuatu yang cukup mengejutkan dengan menukar pertuduhan ke atas Anwar dengan membuang pertuduhan "menafikan tuduhan kesalahan seksual dan liwat yang anda lakukan dalam usaha melindungi diri anda dari tindakan dan prosiding mahkamah" dalam kes salah guna kuasa oleh Anwar sedangkan seluruh media dan jentera propaganda BN telah mengaibkan Anwar di seluruh dunia dengan mendakwa beliau seorang peliwat dan seorang penzina yang mempunyai anak haram!

Kemudian, hakim Augustin Paul mengarahkan agar kes ditumpukan ke atas pertuduhan rasuah, bukannya kes liwat atau kesalahan seksual. Yang lebih menakjubkan lagi, saksi utama pendakwaraya, kononnya mangsa liwat Anwar, kemudian berkata sebanyak tiga kali bahawa Anwar tidak meliwatnya.

Dalam perbicaraan kedua Anwar, Anwar yang dituduh meliwat adik angkatnya, Sukma Darmawan, di Tivoli Villa, tarikhnya bertukar-tukar.

Mula-mula Sukma, selepas ditahan dan ditekan oleh polis, mendakwa kesalahan tersebut berlaku dua atau tiga tahun lepas (1995 atau 1996) tetapi kemudian pertuduhan di dalam perbicaraan tersebut ialah pada Januari hingga Mac 1993.

Hakim Arifin Jaka (kiri) berkata bahawa Anwar gagal memberi alibi antara 1 Januari hingga 12 Februari. Tetapi peguambela Anwar telah membuktikan apartment di Tivoli Villa tersebut dalam pembinaan dan dipenuhi pelbagai bahan binaan, dan tilam hanya dibawa masuk pada 12 Februari.

Ternyata sekali, dalam mana-mana standard keadilan, Anwar tidak akan dipenjara. Tetapi kerana Mahathir sudah memberitahu satu dunia bagaimana Anwar seorang peliwat, bagaimana Anwar melancap pasangan homoseksualnya, maka Mahathir tahu beliau akan menanggung malu dan aib yang besar sekiranya Anwar dibebaskan.

Malangnya Mahathir terlupa dalam proses itu beliau telah memfitnah Anwar dan memalukan serta mengaibkan seluruh keluarga Anwar, termasuk anak-anaknya yang tidak kenal lagi erti perkataan "liwat" dan "lancap".

Bukan dosa

Mereka tahu rakyat tidak membeli alasan mereka bahawa Anwar seorang peliwat dan kaki zina. Apabila orang bertanya kepada saya, tiada kemungkinankah Anwar seorang peliwat, saya jawab, "Buktikan dalam mahkamah melalui proses perundangan yang adil, dengan 'due process', dan saya akan percaya. Tetapi saya tidak akan percaya perbicaraan di mahkamah kangaru atau pun melalui media propaganda."

Jika benar Anwar ejen asing, dakwa beliau di bawah undang-undang yang sewajarnya, bukan memfitnah beliau sebagai peliwat. Pertuduhan Anwar sebagai ejen asing hanya berkisar mengenai sambutan karpet merahnya di Amerika, sedangkan kalau atas logik itu Mahatir ejen berpuluh-puluh negara kerana beliau disambut dengan karpet merah setiap kali lawatan rasminya.

Tambahan lagi, menteri-menteri kanan negara termasuk Pak Lah dan Najib pernah berucap di institut berhaluan kanan yang terkemuka, Heritage Foundation. Mengapa perkara tersebut tidak diungkit?

Apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, ada alasan baru pimpinan Umno. Mereka membandingkan "kesabaran" Pak Lah dengan "ketidaksabaran" Anwar yang kelihatan ingin mencabar Mahathir pada tahun 1997 dan 1998 dahulu. Saya tidak kisah politik dalaman Umno.

Sekiranya benar Anwar ingin mencabar Mahathir, mengapa Mahathir tidak pecat Anwar sahaja?

Sekadar ingin mencabar Mahathir melalui proses demokrasi bukannya satu dosa yang melayakkan Anwar difitnah dan diaibkan sebegitu rupa. Atau ahli-ahli Umno melihat sebarang usaha mencabar Presiden Parti dosa yang teramat besar hingga pencabar itu boleh difitnah dan dicabar?

Kalau begitu Umno sememangnya sudah tidak relevan buat rakyat Malaysia.

Sekiranya pimpinan Umno yakin dosa Anwar sekadar ingin mencabar pimpinan Umno pada 1997-1998, saya mencabar setiap seorang pemimpin Umno untuk bebaskan Anwar hari ini, dan pergi meminta maaf dengan Anwar ke atas segala fitnah, aib dan kezaliman yang telah mereka lemparkan kepada Anwar. Umno, BN, media perdana, hakim-hakim yang terbabit mereka perlu membayar iklan besar-besaran untuk mengakui "Anwar difitnah. Anwar bukan peliwat. Anwar mangsa percaturan politik. Umno menanggung kesalahan itu."

Saya yakin rakyat tidak lupakan Anwar. Perhimpunan Gerakan Anwar Bebas menghimpunkan 20,000 orang, dan kerana Anwar masih lagi faktor media perdana melaporkan sekadar 500 2,000 orang sahaja hadir.

Ruslan Kassim dan Geng 12 yang lain sudah kembali ke pangkuan Umno, tetapi usah fikir rakyat semudah itu terbeli dengan helah murahan Umno. Umno suka menipu diri sendiri kerana mereka takut dengan kebenaran. Kita lihat pilihanraya ini.