Pilihanraya Malaysia ke-11 pasti akan berlangsung pada 21 Mac ini. Salah satu matlamat yang diburu pada pilihanraya adalah meraih sebanyak mungkin undi orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Siapa yang dapat menguasai bilangan kerusi orang Melayu dalam Parlimen dan negeri, dialah yang mewakili penduduk terbesar di Malaysia, justeru layak sebagai pemimpin bagi kaum itu dan negara.

Hakikat ini bagaikan diterima pakai oleh seluruh warga Malaysia walaupun ada segelintir yang membangkang. Rakyat suku kaum Melayu, oleh kerana sejarah dan jumlahnya adalah golongan penduduk dari segi politik dan ekonomi dikira signifikan.

Antara parti yang selalu bertanding untuk merebut kepimpinan itu ialah Umno dan PAS. Masing-masing mempunyai perancangan dan strategi tertentu untuk muncul juara dalam mewakili kepimpinan orang Melayu khususnya dan Malaysia amnya.

Sejak Merdeka lagi parti Umno telah menguasai kepimpinan orang Melayu.Untuk beberapa tahun sokongan orang Melayu pada Umno begitu pejal sekali sehingga Umno sinonim dengan parti Melayu atau mewakili 'ketuanan Melayu'.

Namun perkembangan selama Merdeka juga memperlihatkan persaingan untuk menjadi pemimpin orang Melayu menunjukan aliran yang boleh mencemaskan pihak Umno. Maka itu Umno harus bersedia dan membuat sesuatu bagi menarik balik keyakinan orang Melayu untuk mengekalkan kepimpinan itu.

Sokongan merosot

Bagaimana? Lihat pada statistik apakah sokongan orang Melayu kian meningkat atau merosot ?

Cuba kita lihat keadaan atau kedudukan sokongan orang Melayu terhadap Umno untuk beberapa tahun yang lalu. Kita tumpukan kepada lima negeri kerana Umno nampaknya tiada masalah dengan negeri-negeri di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak di mana orang Melayu masih memberi sokongan padu kepadanya. Kita lihat perkembangan mulai tahun 1990 (lihat rajah).

Bagi kes Kelantan, untuk Umno mengambil semula pemerintahan dari PAS ia harus meraih sekurang-kurangnya 60 peratus undi orang Melayu. Mengikut satu pemerhatian prestasi Barisan Nasional dan Umno adalah terbaik pada tahun 1995, namun Umno pada tahun itu cuma mendapat sebanyak 43 peratus undi daripada keseluruhan di Kelantan.

Sesuatu yang istimewa harus dibuat oleh Umno bagi tahun 2004 untuk meraih undi orang Melayu dan peratusnya harus dalam lingkungan enam puluhan jika Umno berhasrat memerintah Kelantan semula.

PAS telah memerintah Kelantan sejak tiga pilihanraya umum yang lalu. Pada statistik di atas jelas bahawa peningkatan untuk Umno amat memerlukan perjalanan ranjau yang panjang. Di Terengganu undi orang Melayu terhadap Umno menurun sejak tahun 1990, mulai daripada 64 peratus turun 55 peratus dan merosot ke 41 peratus

Mengikut penganalis politik Umno perlu sebanyak 50 peratus undi untuk menyisih PAS untuk memerintah negeri penyu itu. Dalam kerja politik, untuk mendapatkan peningkatan peratus yang mendadak bukannya mustahil tetapi dikira amat sulit. Soalnya sekarang kenapa orang Melayu sudah mula menunjuk minat dengan PAS?

Ada pelbagai faktor dan Umno harus menghalusinya dan bertindak sewajarnya.

Sokongan tak pejal

Bagaimana dengan Kedah? PAS kebelakangan ini asyik ghairah untuk menawan Kedah pada piliharaya ke-11 mendatang ini.Apakah PAS mempunyai alasan yang memadai atau sekadar syok sendiri?

Sokongan orang Melayu terhadap Umno di Kedah memperlihatkan penurunan, tetapi tidaklah mendadak sangat. Sokongan orang Melayu pada Umno mulai menurun sejak pilihanraya pada tahun 1995 yakni daripada 61 peratus pada tahun 1990 dan terus menurun pada tahun 1999 sebanyak 50 peratus.

Pada tahun 1999 Kedah kehilangan lapan daripada 15 kerusi Parlimen pada parti pembangkang khususnya PAS sedangkan 12 daripada 36 DUN adalah milik pembangkang. Satu lagi ciri di Kedah ialah pada pilihanraya 1999 dulu, tujuh kerusi DUN yang dimenangi oleh BN, peratus kemenangannya adalah tipis, maknanya kurang daripada dua peratus seperti kawasan Tanjong Seri dan Pantai Merdeka atau 10 peratus di kawasan Kubang Rotan, Sungai Tiang, Tanjong Dawai, Bayu dan Bandar Baharu.

Ini semua menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu terhadap Umno tidak begitu pejal. Hakikatnya ialah prestasi itu memberi peringatan pahit kepada Umno.

Pahang juga memperlihatkan kemerosotan yang boleh merisaukan Umno. Pada tahun 1999 ia meraih sebanyak 73 peratus undi, merosot kepada 69 peratus pada tahun 1995 dan mendadak turun kepada 53 peratus pada tahun1999. Kedudukan di Pahang bagaikan sama dengan di Kedah dan jika Umno tidak mengambil sesuatu tindakan yang khusus maka tidak mustahil Pahang akan jatuh kepada PAS pada pilihanraya ke-11 nanti. PAS juga berghairah untuk menawan Pahang dan meletak sasaran itu sebagai salah satu yang matlamat yang ingin direalisasikan.

Negeri Selangor tidak ketinggalan dari segi penurunan sokongan orang Melayu terhadap Umno. Pada tahun 1995 sokongan orang Melayu pada Umno sebanyak 82 peratus terus merosot kepada 51 peratus pada tahun 1999. Di Selangor banyak kawasan di mana keputusan undi mempamerkan yang pihak BN atau Umno menang tipis. Keadaan di Selangor mungkin sudah berubah tetapi apa jaminan keputusan tidak akan merosot pada pilihanraya akan datang.

Apakah sebabnya orang Melayu kian merujuk kepada PAS. Isunya sudah tentu rumit dan bolehkan eksesai persempadanan yang dibuat oleh SPR dan lunturnya isu Anwar Ibrahimdapat mengembalikan sokongan orang Melayu di lima negeri tadi ke atas Umno?

Tiada perubahan

Perdana Menteri Ahmad Abdullah Badawi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang masing-masing percaya yang orang Melayu akan memberi undi yang banyak kepada parti masing-masing dengan pertimbangan berbeda-beda.

Bagi Umno keadaan dan suasana politik alih-alih sudah banyak berubah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai PM ke-4 pada akhir bulan Oktober tahun lalu, sementara Tuan Hadi pula percaya bahawa sebenarnya tiada perubahan sebenar telah berlaku dan sebahagian besar orang Melayu akan tetap mencari perubahan melalui PAS.

Maka itu perkembangan politik dalam tempoh terdekat menjadi menarik untuk diikuti. Sememangnya media massa arus perdana memberi gambaran yang tidak semestinya sama dengan apa yang berlaku pada peringkat akar umbi. Apakah kita boleh saja percaya bahawa ramai orang Melayu di peringkat akar umbi mudah sahaja dikuasai oleh jentera dan propaganda parti memerintah?

Susah untuk dibaca kerana cara parti PAS menangkas propaganda itu juga adakalanya berkesan.

Orang Melayu pun kian celik dengan tipu helah orang berpolitik. Apa-apapun satu pertarungan hebat tetap berlaku antara PAS dan Umno kerana undi orang Melayu itu memang strategik dalam konteks Malaysia.

Bagi Pak Lah mendapat sokongan lebih ramai orang Melayu menjadi lebih mendesak kerana beliau turut harus meyakinkan yang beliau adalah pemimpin orang Melayu, bukan sahaja pemimpin rakyat Malaysia. Mantan Tun Mahathir setelah menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu umumnya merosot pada Pilihanraya ke-10 dulu turut mengambil tindakan wajar meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Negara.


RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.