Hendak ke mana Gerakan?
Chia Kwang Chye, Setiausaha Agung Gerakan berhujah bahawa komposisi kepimpinan dan keahlian kaum sesebuah parti politik yang bersifat multi-etnik, tidak seharusnya terlalu ditekankan.
Dalam soal-jawab dengan pembaca
malaysiakini
pada November 2003, Chia
menekankan
betapa pentingnya corak pemikiran pemimpin serta ahli parti itu. Juga penting, tegasnya, ialah pendekatan parti dalam menangani isu-isu masyarakat yang tidak bersifat perkauman.
Hujah Chia itu wajar. Pucuk pimpinan memainkan peranan penting untuk menentukan halatuju parti tersebut. Jikalau pendekatan pucuk pimpinan bersifat perkauman, walaupun parti itu dikatakan berbilang kaum, orang ramai tetap menganggapnya sebuah parti perkauman.
Yang ironisnya, Setiausaha Agung Gerakan itu sanggup mempertahankan sifat multi-etnik partinya, manakala Presidennya, Dr Lim Keng Yaik, sudah mengutamakan sifat keCinaan yang diperkongsi oleh Gerakan dan MCA.
Dalam jamuan anjuran bersama MCA dan Gerakan di Perak pada Julai 2003, Dr Lim telahpun menimbulkan kemungkinan Gerakan bergabung dengan MCA pada suatu ketika nanti. Ura-ura penggabungan Gerakan-MCA itu tidak disambut langsung oleh pucuk pimpinan MCA pada masa itu.
Cadangan tersebut diungkit semula dalam jamuan bersama di Alor Setar pada 18 Disember 2003. Kali ini, kedua-dua Presiden MCA dan Presiden Gerakan menyatakan keinginan untuk menggabungkan parti mereka. Malah Abdullah Ahmad Badawi selaku Pemangku Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, telahpun merestui penggabungan MCA-Gerakan itu.
Chia Kwang Chye, Setiausaha Agung Gerakan berhujah bahawa komposisi kepimpinan dan keahlian kaum sesebuah parti politik yang bersifat multi-etnik, tidak seharusnya terlalu ditekankan.
Dalam soal-jawab dengan pembaca malaysiakini pada November 2003, Chia menekankan betapa pentingnya corak pemikiran pemimpin serta ahli parti itu. Juga penting, tegasnya, ialah pendekatan parti dalam menangani isu-isu masyarakat yang tidak bersifat perkauman.
Hujah Chia itu wajar. Pucuk pimpinan memainkan peranan penting untuk menentukan halatuju parti tersebut. Jikalau pendekatan pucuk pimpinan bersifat perkauman, walaupun parti itu dikatakan berbilang kaum, orang ramai tetap menganggapnya sebuah parti perkauman.
Yang ironisnya, Setiausaha Agung Gerakan itu sanggup mempertahankan sifat multi-etnik partinya, manakala Presidennya, Dr Lim Keng Yaik, sudah mengutamakan sifat keCinaan yang diperkongsi oleh Gerakan dan MCA.
Dalam jamuan anjuran bersama MCA dan Gerakan di Perak pada Julai 2003, Dr Lim telahpun menimbulkan kemungkinan Gerakan bergabung dengan MCA pada suatu ketika nanti. Ura-ura penggabungan Gerakan-MCA itu tidak disambut langsung oleh pucuk pimpinan MCA pada masa itu.
Cadangan tersebut diungkit semula dalam jamuan bersama di Alor Setar pada 18 Disember 2003. Kali ini, kedua-dua Presiden MCA dan Presiden Gerakan menyatakan keinginan untuk menggabungkan parti mereka. Malah Abdullah Ahmad Badawi selaku Pemangku Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, telahpun merestui penggabungan MCA-Gerakan itu.
Gembleng kekuatan
Pada tahun 80-an, Gerakan di bawah kepimpinan Lim pernah berusaha menjalinkan hubungan yang erat dengan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Ketiga-tiga parti itu mempunyai keahlian berbilang kaum dan bertapak masing-masing di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Percubaan untuk menggembleng kekuatan parti-parti berbilang kaum dalam Barisan Nasional (BN) sedikit sebanyaknya telah memberi nafas baru kepada politik bukan perkauman pada waktu itu. Ura-ura ketiga-tiga buah parti itu disatukan sungguh menarik kerana gabungan itu akan meliputi seluruh Malaysia dan akan menguatkan kedudukan mereka dalam BN.
Namun, hasrat Gerakan, SUPP dan PBS itu bergantung kepada persetujuan Umno. Tampaknya Umno memandang serong terhadap usaha menggemblengkan kekuatan ketiga-tiga buah parti itu. Kekuatan mereka, jika disatukan, dianggap Umno boleh menggugat kedudukannya dalam BN. Apatah lagi Umno Sabah masih belum wujud.
Entah bila masanya ura-ura itu menemui ajalnya, tidaklah diketahui. Namun cadangan tersebut boleh dikatakan berkubur setelah PBS bertindak keluar daripada BN pada tahun 1990. Akhirnya, kemungkinan ketiga-tiga buah parti itu membentuk sebuah pakatan dalam kerangka BN dan disatukan kemudian sebagai sebuah parti, merupakan angan-angan sahaja.
Lim sebagai Presiden Gerakan, telah memainkan peranan penting dalam usaha merapatkan SUPP dan PBS dahulu. Kini, beliau mengorak langkah untuk mendekatkan MCA.
Lim seharusnya lebih dulu menjawab dua soalan sebelum mengesyorkan kepada umum percantuman MCA-Gerakan. Pertama, apakah percantuman itu akan melahirkan sebuah parti yang berbilang kaum ataupun parti perkauman? Kedua, kalau parti baru itu parti Cina, ke manakah kelak semua ahli Gerakan yang bukan keturunan Cina?
Keluar parti
Nampaknya, ura-ura percantuman MCA-Gerakan belum lagi dibincangkan dalam Gerakan sendiri. Seorang pemimpin Gerakan bukan keturunan Cina telah mengutarakan bahawa percantuman itu sewajarnya bersifat multi-etnik. Secara tidak langsung, beliau telah menyuarakan kebimbangannya.
Tidak hairanlah sekiranya Lim sendiri mahu kembali ke pangkuan MCA. Pada suatu ketika dahulu, Gerakan merupakan tempat menumpang kepada pemimpin MCA yang gagal merampas kuasa daripada pucuk pimpinan MCA yang sedia ada. Lim bersama pengikutnya bertindak keluar daripada MCA pada 1973, lalu menyertai Gerakan sesudah gagal mencabar pucuk pimpinan MCA ketika itu.
Lim kelihatan terlalu ghairah mahu berpakat dengan MCA. Beliau sanggup memperadik Gerakan serta memanggil MCA sebagai abang dan Umno sebagai bapa. Kata-kata Lim itu sangat melucukan dan dibuat tanpa segan silu pula.
Kalau bapa dan abang itu parti perkauman, masakan adik sebuah parti bukan perkauman. Ke mana pergi maruah segenap ahli Gerakan? Sudahkah Gerakan memaafkan gelagat MCA yang sering 'membuli' mereka?
Umum mengetahui bahawa hubungan Gerakan dan MCA selama ini bukan sahaja renggang bahkan bermusuhan. Kedua-dua parti itu sering bertelagah, malah tikam-menikam dari belakang. Chia sendiri mengakui bahawa masalah utama yang dihadapi partinya adalah sikap MCA yang enggan menerima kepimpinan Gerakan dalam pemerintahan negeri Pulau Pinang.
Sebagai parti Cina, MCA memandang dirinya paling layak memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang, yang kebanyakan penduduknya berketurunan Cina. Jawatan itu menjadi rebutan antara Gerakan dengan MCA sejak 1969.
Hubungan tegang
Pada Disember 1999, kedudukan Dr Koh Tsu Koon sebagai ketua menteri Pulau Pinang menjadi sulit, apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gerakan di Pulau Pinang telah melompat ke MCA. Berikutan itu, MCA memiliki lebih banyak kerusi daripada Gerakan, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Kemelut kedudukan Koh hanya dapat direda dan diselamatkan oleh Umno Pulau Pinang. Akibat tindakan menikam dari belakang oleh dua Adun tersebut, maka hubungan Gerakan dan MCA menjadi tegang.
Pada Disember 2002, dua Adun MCA terpaksa digantung keahliannya oleh pucuk pimpinan MCA. Tindakan itu diambil terhadap Adun Jawi dan Adun Datuk Keramat kerana mereka berkecuali dalam usul DAP yang mahu menangguhkan Projek Pembinaan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).
Meskipun usul DAP dikalahkan, namun tindakan berkecuali dua Adun itu, telah memalukan Koh selaku ketua kerajaan Pulau Pinang. Di samping itu, Adun Datuk Keramat yang melompat dari Gerakan ke MCA pada 1999 itu, merupakan duri dalam daging kepada Koh.
Jikalau tindakan disiplin tidak diambil terhadap Adun tersebut, beliau akan terus menjadi pengacau kepada Koh. Oleh itu, Adun Jawi boleh dikatakan terjerat dalam sengketa di antara Adun Datuk Keramat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Selepas dilantik sebagai presiden baru MCA, Ong Ka Ting hendak menunjukkan bahawa kedudukan MCA lebih besar, dibandingkan dengan Gerakan. Ong memulihkan keahlian MCA dua Adun berkenaan, dengan merujukkan perkara mereka terus kepada Presiden Umno merangkap Pengerusi BN.
Undi bukan Melayu
Sepatutnya, perkara itu dirujukkan terlebih dahulu kepada Koh selaku Pengerusi BN Pulau Pinang. Tampaknya, tindakan Ong itu sengaja mahu memperkecil-kecil kedudukan Koh.
Perseteruan antara Gerakan dengan MCA tidak habis-habis sejak Gerakan menawan Pulau Pinang. Namun demikian, keadaan ini mesti dihentikan kerana Umno telah dilemahkan semenjak tahun 1998. Kini undi bukan Melayu sangat diperlukan untuk menjamin kemenangan Umno-BN.
Oleh itu, Umno mahu hubungan yang baik di antara Gerakan dan MCA, setidak-tidaknya mereka dilihat berbaik-baik. Malah Umno juga mahu juga MIC, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Barisan Progresif India (IPF) tidak bermusuhan. Pada pandangan Umno, parti-parti Cina dan parti-parti India dalam BN mestilah bersatu padu untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Oleh kerana kemahuan Umno, terpaksalah Ong melayan ura-ura penggabungan dari Lim itu. Namun, ini tidaklah bererti Ong dan MCA menghendaki sebuah parti baru, jika jadi, yang berbilang kaum. Setakat ini, MCA masih dapat bertahan sebagai parti Cina. Lebih-lebih lagi Umno suka kalau parti baru itu parti Cina.
Ramai orang mempersoalkan kesanggupan Gerakan diteruskan sebagai parti berbilang kaum dalam BN. Selagi Umno berupa parti perkauman, selama itulah Umno tidak akan membiarkan parti-parti berbilang kaum berakar, apatah lagi dibiarkan berkembang di luar mahupun dalam BN.
Parti-parti yang berbilang kaum dalam BN tinggal pada nama sahaja. Secara pragmatiknya, mereka menari mengikut rentak politik perkauman. Hanya Gerakan yang masih bersusah payah membela imej multi-etniknya.
Yang ketaranya, Lim tidaklah sangat hendak mendukung falsafah politik dan perjuangan Gerakan yang bukan perkauman. Beliau kelihatan tidak keberatan menerima parti Cina yang baru, asalkan orang-orangnya tetap memegang tampuk kuasa Pulau Pinang.
Adakah kalangan intelek dan profesional yang dianggap progresif dalam Gerakan, seperti Koh dan Chia, sampai hati meminggirkan rakan-rakan seperjuangannya yang bukan keturunan Cina?
Ke arah mana yang hendak dituju oleh Gerakan di bawah kepimpinan Lim?
Ang Hiok Gai adalah Timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat. Rencana ini pernah disiarkan dalam Suara PRM.

