Syor adil untuk Majlis Media
Tidak guna menubuhkan sebuah lagi suruhanjaya atau majlis jika kewibawaannya diragui oleh masyarakat. Lebih tepat, jika ia gagal membawa rasa keadilan di kalangan semua pihak terbabit.
Sudah banyak badan seumpama ini menerima imej buruk atau dicurigai, khasnya dalam krisis-krisis politik, misalnya badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah atau Suruhanjaya Pilihanraya.
Sejak berkumandang semula beberapa tahun lepas, idea penubuhan sebuah majlis media sering diragui oleh beberapa kumpulan wartawan atau badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).
Dalam satu memorandum 'tujuh perkara' kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Oktober 2000, Kami memang menggesa penubuhan sebuah badan bebas untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit, misalnya penarikan permit penerbitan dan laporan media yang tidak adil.
Idea yang sama juga dikemukakan oleh lebih 1,000 wartawan arus perdana dua tahun berturut-turut selepas krisis politik 1998. Akibat desakan sistematik ini, Institut Akhbar Malaysia (MPI) mengkaji kemungkinan pembentukan sebuah majlis media dan mengemukakan pandangannya pada 2001, tetapi mendapat sambutan dingin.
Ada kecurigaan ketara daripada beberapa pihak, termasuk kumpulan wartawan 'independen' atau bukan arus perdana, kerana idea ini asalnya muncul daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), agensi yang menjadi sasaran kritikan utama akibat kawalan mutlaknya terhadap media.
Antaranya, siapa yang bakal menduduki majlis media itu? Landskap media di negara ini dibolot hampir seratus peratus oleh syarikat-syarikat yang rapat dengan, atau dimiliki oleh, parti-parti kerajaan. Parti-parti pembangkang juga mempunyai kekuatan media mereka sendiri, walau relatifnya sangat terbatas.

Iklim perundangan
Satu himpunan undang-undang yang ada hari ini menghalang pemilik media bebas daripada beroperasi dengan selesa, selamat dan menguntungkan. Kebanyakannya, jika tidak ditarik permit, tidak berani memainkan peranan media yang bebas dan adil akibat iklim perundangan yang mengongkong sekarang.
Maka budaya bermedia yang bebas, adil dan independen tidak difahami, apatah lagi dihayati, oleh segenap anggota masyarakat. Idea kebebasan media masih lagi kabur dan tidak dihormati, termasuk di kalangan ahli politik, pegawai kerajaan dan pengamal media sendiri!
Isu pemberian kad akreditasi (pengenalan) wartawan yang bersifat diskriminasi - misalnya yang dialami Malaysiakini.com - tidak diperbaiki. Malah, saranan yang dikemukakan oleh MPI untuk 'mendaftarkan wartawan' memburukkan lagi keadaan.
Keseluruhan senario latar di sebalik cadangan pembentukan majlis media awal-awal lagi berat sebelah. Kecurigaan banyak pihak datang bersama senario latar ini. Jika keadaan monopoli atau berat sebelah ini tidak diatasi, apakah mungkin kita mempunyai sebuah majlis media?
Idea untuk membentuk majlis ini dihidupkan semula akhir-akhir ini melalui sesi perundingan antara Suhakam dengan beberapa saranan daripada Jabatan Peguam Negara dan kerajaan. Nampaknya kerajaan benar-benar serius ingin melaksanakan majlis media seperti telah dicapai oleh MPI walaupun bantahan dan kritikan terhadap konsepnya telah disuarakan.
Pada 8 Januari ini (Khamis), suruhanjaya hak asasi memanggil semua pihak terbabit untuk duduk berbincang dalam acara 'Perundingan untuk Pembentukan Majlis Media'. Sekali lagi, saranan MPI dibentangkan dan diminta dibahaskan oleh tiga pihak (dalam satu sesi selari): kumpulan wartawan, pemilik media dan NGO.
Kebebasan maklumat
Ia diadakan sebagai tindakan susulan daripada syor-syor Suhakam kepada KDN pada November 2002. Kita tidak tahu bagaimana sikap atau reaksi kerajaan terhadap syor-syor yang progresif ini tetapi kita berasa sungguh hairan kenapa suruhanjaya ini beria-ia mengambil satu daripada lapan syor terbabit?
Apakah kerajaan mahu mengkaji semula dan meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan juga Akta Hasutan? Apakah kerajaan tidak berminat menggubal sebuah Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) seperti disyorkan?
Menyedari kecurigaan dan penolakan beberapa pihak terhadap saranan MPI dan kerajaan, Suhakam sendiri awal-awal lagi menggariskan objektif yang sedikit 'ganjil' untuk acara perundingan beberapa hari lagi: untuk memastikan sama ada wujud kesepakatan di kalangan pihak-pihak terbabit tentang idea majlis media.
Kita tidak mempunyai syak atau kritik pada Suhakam atau MPI. Tetapi jika kerajaan jujur, tidak sukar sebenarnya untuk menubuhkan majlis media. Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) berpendapat langkah paling awal yang boleh diambil oleh KDN atau kerajaan umumnya ialah memperakukan kelapan-lapan syor Suhakam yang sudah tertangguh lebih setahun.
Apakah sukar bagi kerajaan untuk menerima langkah-langkah ini?
Setakat hari ini, kita belum mendengar sebarang ulasan atau riak-riak positif daripada kerajaan. Malah, banyak pihak tidak menyedari bahawa Suhakam telah pun mengemukakan syor seumpama ini kepada kerajaan. Nampaknya, media arus perdana yang sering dituduh mewakili pandangan kerajaan atau parti pemerintah, juga tidak membahaskan isu-isu ini panjang lebar. Kenapa?
Syarat ini penting bagi membuktikan kerajaan benar-benar ikhlas dan juga membentuk 'peraturan permainan' yang sama rata kepada pemilik media, wartawan dan pengguna sebelum penubuhan majlis media. Kerajaan yang demokratik tidak akan rugi apa-apa jika memandang media daripada perspektif hak asasi, seperti telah digariskan oleh Suhakam itu.
Oleh itu, sementara menunggu tindakan positif kerajaan terhadap syor-syor Suhakam, Kami berpendapat pembentukan majlis media harus berperingkat-peringkat, mungkin antara tiga hingga lima tahun. Tempoh ini bagi membolehkan kelapan-lapan syor Suhakam itu dilaksanakan sepenuhnya.
Perwakilan adil
Kedua, untuk membiasakan pengamal media, pengguna dan kerajaan mengendalikan aduan orang ramai atau berbincang hal-hal berbangkit di sekitar isu-isu media, termasuk persaingan sihat sesama pemilik media.
Sebagai ganti majlis media (sebelum beroperasi sepenuhnya), sebuah jawatankuasa tetap tidak rasmi boleh ditubuhkan di bawah Suhakam dengan perwakilan adil daripada semua pihak terbabit.
Jadi, sebarang rasa kilanan atau aduan boleh dikemukakan kepada jawatankuasa ini untuk diputuskan. Ia boleh mengadakan pertemuan sekerap mungkin, mengikut persetujuan anggota-anggotanya, atau sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun.
Jika banyak pihak yang berselisih boleh berpuas hati dengan keputusan-keputusan jawatankuasa ini, ada harapan majlis media yang sebenarnya ditubuhkan. Jika tidak, bubarkan sahaja jawatankuasa tidak rasmi ini - setidak-tidaknya kita telah berusaha!
Kekerapan pertemuan ini dicadangkan, selain menunggu pihak kerajaan, dengan harapan beberapa garis panduan penting dapat dipersetujui bersama. Garis panduan tersebut termasuklah:
(a) Garis panduan (kemudian diperundangkan) perlindungan kepada pengamal media daripada tekanan politik, saringan (censorship) atau amalan-amalan diskriminatif. Ia membabitkan juga akses yang memudahkan kerja-kerja mendapatkan maklumat dan melaporkan tanpa rasa takut atau berpihak (without fear or favour).
(b) Garis panduan konsep dan amalan laporan adil (fair reporting) kepada pihak-pihak terbabit, misalnya hak untuk mendapat liputan dan hak untuk menjawab (right to reply), termasuk menerima aduan jika terdapat sumbangan (pendapat atau tulisan) yang diketepikan tanpa sebab yang adil dan munasabah.
(c) Garis panduan dan penguatkuasaan kod amalan profesional wartawan. Isu ini tidak ganjil atau sukar tetapi kita inginkan satu kod yang adil, dihayati bersama dan boleh dikuatkuasakan jika ada pelanggaran.
(d) Garis panduan bagi isu-isu yang dianggap 'sensitif' - misalnya agama, kaum dan pertahanan negara. Isu ini sering dijadikan alasan mudah untuk mengelak laporan dan perdebatan sihat tentang penyelewengan, diskriminasi aatau salahguna kuasa. Oleh itu, garis panduan ini harus terperinci dan pengecualiannya (jika ada) harus lebih terperinci, misalnya panduan yang dikemukakan oleh Article 19, sebuah badan hak asasi di London, untuk konsep 'keselamatan negara' ketika menggubal FOIA.
Kami telah berfikir panjang tentang isu-isu ini dan percaya sebuah majlis media yang bebas lagi adil lambat laun harus diwujudkan di negara ini. Menolak idea ini atau menerimanya melulu - tanpa bersikap kritikal - tidak lagi sesuai. Tetapi bagaimana memastikan semua pihak berlaku adil, agar rasa keadilan itu benar-benar dinikmati bersama, menjadi asas pertikaian Kami. Syor-syor ini difikirkan sejajar dengan semangat keadilan itu.
Rujukan:
Kumpulan Aktivis Media Independen (2001) 'Seven relevant demands' dalam Aliran Monthly
Mohd Safar Hashim dan Ahmad Murad Merican (2002) 'Council under construction' dalam Cecile Bagos, peny., Watching the Watchdog, Bangkok: Southeast Asia Press Alliance. Hal. 78-90
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (2002) Annual Report 2002, Kuala Lumpur: Suhakam. Lihat bab 3 (iv) Freedom of the media
FATHI ARIS OMAR, penulis kolum Tiada Noktah setiap Isnin, merupakan pengasas dan anggota aktif Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami). Penulis boleh dihubungi di e-mel fathiaris@yahoo.com . Kami akan mengemukakan cadangan-cadangan asas ini dalam sidang Perundingan untuk Pembentukan Majlis Media, anjuran Suhakam pada 8 Januari nanti.