Pada waktu pemerintahan kuku besi Soviet Union dahulu, timbul satu gerakan penulisan bawah tanah. Gerakan inilah yang melahirkan perkataan samizdat, yang berasal daripada gabungan perkataan Russia yang bermaksud "penerbitan sendiri".

Gerakan ini mendapat tempat ketika Russia cuba untuk mendepani kezaliman Stalin dan di bawah pemerintahan Khrushchev. Para penulis di zaman komunis dikawal segala-galanya apa yang dapat mereka tulis ialah tajuk-tajuk yang dapat mereka ulas dan bentuk penulisan yang mereka mahukan.

Meskipun sedikit kelonggaran diperoleh oleh rakyat Russia ketika pemerintahan Khrushchev, tetapi beliau tidak bertahan lama dan puak Stalinis kembali merampas kuasa. Maka kekecewaan ini tergambar dengan perkembangan gerakan samizdat.

Bahan-bahan yang dikategorikan sebagai samizdat merupakan bahan-bahan bertulis yang kemudiannya disebarkan dengan bahan-bahan bertaip, difotostat atau mimeograf. Samizdat menjadi pemain utama protes dalam rejim Soviet pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an, tetapi selepas glasnost Mikhail Gorbachev, hilang signifikannya.

Samizdat menggambarkan betapa media memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan tasawwur masyarakat, untuk menimbulkan kesedaran dan memperkasakan gagasan. Syed Syeikh Ahmad Alhadi, Syed Mohd Tahir Jalaluddin, Sheikh Mohd Kalali dan Haji Abbas Mohd Taha melaksanakan provokasi intelektual untuk memperjuangkan pemikiran kaum muda menerusi risalah seperti Al Imam.

Di celah-celah arrondissement Paris pula pada zaman 1920-an dahulu, tersebar sebuah penerbitan berkala yang mempunyai tajuk dalam tiga bahasa Perancis, Arab dan Mandarin. Dalam bahasa Perancis tajuknya ialah Le Paria. Isinya dalam bahasa Perancis dan menjadi lidah kepada pelbagai bangsa yang dijajah Perancis. Atas sebab itulah, tajuk yang bermaksud 'Si pariah' itu diambil. Stail dan bentuknya cukup mudah.

Editornya ialah seorang pemuda Annam yang bernama Nguyen Ai Quoc. Menurut penulis William J Duiker, beliaulah juga penyumbang utama, dan apabila orang lain tidak ada, beliaulah juga menjadi pengedar utama, tukang lukis, tukang balut dan menghantarnya kepada pelanggan.

Akhbar Le Paria

"Ada satu ketika yang akulah editor, bendahari dan pengedar Le Paria dan juga tukang jualnya. Saudara-saudara seperjuangan daripada jajahan-jajahan Asia dan Afrika menulis artikel dan mendapat sumbangan dan aku membuat segala-gala yang lain." Itu pengakuan Nguyen Ai Quoc sendiri.

Di sinilah Nguyen Ai Quoc membaiki penulisannya. Ia menyentuh isu-isu global, penindasan penjajahan Perancis di Afrika atau Indochina. Kadangkala, Nguyen Ai Quoc menulis mengenai utopia yang beliau gambarkan ada di Soviet Russia (berbeza dengan pejuang samizdat kemudian hari). Penulisannya tidak berbunga-bunga, lebih penuh dengan fakta gayanya dipengaruhi Leo Tolstoy yang menjadi penulis pujaannya.

Penulisannya tidak mempunyai ironis Lu Xun, penulis Cina sezaman dengannya. Tetapi ini sesuai dengan falsafah editor Le Paria yang mahu ia dibaca oleh semua lapisan masyarakat dan bukan satu kelas intelektual semata-mata.

Sesiapa yang didapati membaca penerbitan tersebut ditangkap serta-merta. Jumlah pelanggannya turun naik. Namun ia tetap menjadi satu kerisauan polis, atas sebab mereka melihat Le Paria sebagai penyebar propaganda komunis. Gaspard mencatatkan bahawa semua yang melanggani Le Paria yang diketahui, disenaraihitamkan oleh polis.

Nguyen Ai Quoc inilah pemimpin muda anti-kolonial yang kemudian menukar namanya menjadi Ho Chi Minh dan mengetuai pemberontakan terhadap Perancis dan kemudian menyatukan Vietnam dalam peperangan dengan Amerika Syarikat.

Kini, di dalam dunia maklumat, kita ada Internet yang menjadi medan utama media bawah tanah. Media seperti Malaysiakini.com, yang sudah berusia 4 tahun, kini menjadi satu nama yang cukup terkenal, bukan sahaja di Malaysia malah di dunia di atas usahanya membina media independen.

Ini bukan perkara enteng di sebuah negara yang mana editor akhbar boleh dipecat menerusi mesyuarat parti. Memperjuangkan samizdat bukan mudah, banyak risikonya, tetapi ia satu yang perlu dalam menjana pembaharuan dan reformasi pemikiran.

SuaraAnum.com

Jika Malaysiakini.com terus wujud subur di sebalik pelbagai sekatan ke atasnya, SuaraAnum.com pula mewakili samizdat Internet yang telah lingkup. Usaha kecil-kecilan yang mana saya mengumpul penulis muda, mula mendapat tempat dengan penyertaan nama-nama yang agak terkenal seperti Uthaya Sankar SB, Faisal Tehrani dan CK Tan.

Penulisannya bukan mengenai isu-isu semasa sahaja, malah meliputi sastera, agama, kesenian, sukan dan pelbagai isu yang menjadi topik penting anak muda. Di sebalik gambaran SuaraAnum.com yang dilihat sebagai anti-establishment, ia melahirkan perbincangan isu yang cukup menarik.

Dasar saya cukup mudah: apa sahaja tulisan yang relevan dan sesuai, dan ditulis oleh penulis di bawah umur 35 tahun, dan ditulis dengan baik, akan saya pilih. Sama ada tulisan tersebut saya setujui atau tidak, itu isu lain. SuaraAnum.com milik anak muda yang pelbagai mazhab politik, tetapi kerana yang kritis sering terpinggir di media-media lain, maka tidak hairanlah yang kritis menjadi dominan.

Di sebalik kekuatan SuaraAnum.com, usaha untuk membiarkannya bertahan, bukan usaha yang mudah. Penulis perlu dikumpul, tulisan perlu diedit dan lamanweb perlu disiapkan. Apabila satu sahaja kepala yang terlibat, memang wujud pelbagai kelemahan.

Pada masa yang sama, imej anti-establishment SuaraAnum.com menimbulkan kesusahan juga. Ada seorang rakan yang enggan menyumbangkan penulisannya (yang tidak mempunyai konotasi politik langsung) kerana tidak mahu dikaitkan dengan SuaraAnum.com.

Pengunduran saya yang dibuat secara terbuka, dilihat sebagai satu manifestasi isu politik yang lebih besar. Barulah saya sedari kepentingan persepsi dan imej di dalam membuat kerja-kerja yang mendapat perhatian masyarakat.

Tetapi mengetahui SuaraAnum.com berjaya mendapat sekerat dua pembaca cukup untuk membuat saya berpuas hati dengan usaha saya yang tidak seberapa. Tak lama selepas saya mengundur diri, SuaraAnum.com mati di situ sahaja. Ada sesiapa yang berani menyahut cabaran untuk mengetuai usaha media untuk anak muda sekali lagi?




NIK NAZMI NIK AHMAD seorang aktivis, penulis dan pengulas muda. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca di laman peribadinya,